ADN Kijang salur bantuan peribadi RM1,000 kepada mangsa kebakaran
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media ADN Kijang
KOTA BHARU, 5 April – Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang YB Dato’ Dr Izani Husin menyalurkan bantuan peribadi sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa kebakaran di Cabang tiga Kedai Buloh sebagai bantuan awal bagi meringankan beban mereka.
Beliau berkata, pertemuan bersama mangsa diadakan selepas tidak berkesempatan bertemu semua mangsa ketika turun meninjau lokasi kejadian pada Jumaat.
“Ketika saya turun meninjau lokasi kebakaran, saya tidak berkesempatan bertemu dengan semua mangsa kerana keadaan yang masih huru-hara dan penuh kekalutan.
“Pagi tadi, saya undang kelapan-lapan pemilik rumah yang terjejas dalam suasana yang lebih tenang untuk bertanya khabar, mendengar luahan hati mereka serta membantu mengemas kini dokumen yang diperlukan,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.
Exco kerajaan negeri itu turut menasihati mangsa agar terus tabah dan bersabar menghadapi ujian yang menimpa.
“Benar, kata sabar tidak mampu menggantikan apa yang telah hilang. Namun saya tetap berpesan agar mereka terus kuat dan bersabar kerana setiap ujian pasti terselit hikmah dan Allah menjanjikan ganjaran yang lebih baik buat hamba-Nya yang sabar ketika diuji,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan bahawa usaha membantu mangsa yang terkesan merupakan tanggungjawab bersama semua pihak.
“Semoga mereka terus diberi kekuatan dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk terus menyumbang serta membantu mereka bangkit kembali membina kehidupan yang baharu,” ujarnya.
















