Accessibility Tools

Skip to main content

MExUnity perkukuh kerjasama perpaduan persekutuan dan negeri

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco

KOTA DARULNAIM, 5 April – Mesyuarat Menteri Perpaduan Negara bersama Exco-Exco Perpaduan Negeri serta Exco Hal Ehwal Agama Selain Islam (MExUnity) pertama bagi tahun 2026 berlangsung di Sepang sebagai langkah memperkukuh kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam aspek perpaduan nasional.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Mohamad berkata, mesyuarat itu menjadi platform penting bagi menyelaras dasar serta inisiatif perpaduan secara lebih tersusun, inklusif dan berimpak tinggi kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Menurutnya, antara agenda utama yang dibincangkan termasuk cadangan penubuhan Pusat Mediasi Komuniti serta Pusat Rujukan Isu Sensitif Masyarakat (PRISMA).

“Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam menangani isu-isu perpaduan secara lebih berfokus, selain berasaskan data dan keperluan semasa masyarakat.

“Melalui penubuhan kedua-dua pusat berkenaan, diharap dapat memperkukuh mekanisme penyelesaian konflik serta meningkatkan kefahaman antara komuniti, sekali gus mengelakkan ketegangan yang boleh menjejaskan keharmonian negara,” katanya di media sosial, pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan turut menyatakan komitmen berterusan untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Tambahnya, usaha tersebut selari dengan prinsip kesejahteraan serta keharmonian yang sentiasa dijunjung tinggi.

Pautan berjaya disalin!