Dr Zakir Naik gariskan peranan India Muslim di Alam Melayu
Oleh: Norzana Razaly
Foto: Media UPDI
KUALA NERUS, 3 April – Dakwah yang berteraskan iman, amal soleh serta kesabaran perlu diperkukuh sebagai asas membina kekuatan ummah, termasuk dalam memperkasa peranan masyarakat India Muslim di Alam Melayu.
Pengasas dan Presiden Islamic Research Foundation (IRF) Dr Zakir Abdul Karim Naik menegaskan bahawa fungsi utama India Muslim dalam sejarah dan masa kini ialah menyeru manusia kepada Islam secara berhikmah dan berterusan.
“Peranan India Muslim dalam dakwah ialah menyeru kepada Islam. Sejarah membuktikan komuniti India Muslim memainkan peranan signifikan dalam menyebarkan Islam ke Alam Melayu melalui jaringan perdagangan, hubungan sosial serta pendekatan dakwah.
"Dalam konteks Malaysia, masyarakat berketurunan India dianggarkan berjumlah antara 1.5 hingga 2 juta orang, iaitu sekitar empat hingga lima peratus daripada keseluruhan populasi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pidato bertajuk Peranan India Muslim dalam Dakwah di Alam Melayu sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini pada Jumaat.
Dalam pidatonya, beliau menghuraikan bahawa kejayaan sebenar umat Islam berpaksikan panduan al-Quran, khususnya inti pati Surah al-Asr yang menggariskan empat kriteria asas.
“Pertama, beriman. Kedua, beramal soleh. Ketiga, menyeru kepada kebenaran. Keempat, menyampaikan kebenaran dengan kesabaran,” jelasnya.
Beliau turut memetik pandangan Imam Syafie yang menekankan kepentingan surah tersebut sebagai asas pembinaan ummah.
“Imam Syafie berkata, Surah al-Asr amat penting kerana jika hanya surah ini diturunkan kepada manusia, ia sudah mencukupi sebagai panduan menuju hidayah,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Zakir turut mengemukakan pendekatan praktikal bagi memperkukuh keberkesanan dakwah dalam kalangan umat Islam, khususnya ketika berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam.
Menurutnya, umat Islam disaran menghafal sekurang-kurangnya 20 jawapan kepada soalan lazim yang sering dikemukakan oleh golongan bukan Muslim di seluruh dunia.
“Jawapan ini membolehkan umat Islam berdakwah secara lebih efektif, sekali gus menjelaskan salah faham dan tanggapan negatif terhadap Islam,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa sebelum tragedi 11 September, persoalan yang sering dibangkitkan berkisar tentang poligami. Namun selepas insiden tersebut, fokus soalan berubah secara ketara.
“Antara soalan utama ialah mengapa orang Islam dikaitkan dengan jihad, mengapa dianggap ekstremis, mengapa dilabel fundamentalis dan pengganas, serta dakwaan bahawa Islam disebarkan dengan pedang. Isu poligami pula hanya muncul kemudian,” katanya.
Tambahnya, semua jawapan kepada persoalan tersebut telah dihimpunkan dalam penulisan beliau yang boleh diakses secara percuma dalam talian sebagai panduan dakwah.
“Inilah strategi untuk membersihkan salah tanggapan masyarakat bukan Islam terhadap agama ini,” jelasnya.












