Kebakaran libatkan lapan rumah di Kedai Buloh, ADN Kijang segera turun padang
Oleh: Syamimi Manah
Foto: Media Dato' Dr. Izani
KOTA BHARU, 4 April – Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang YB Dato’ Dr. Izani Husin segera turun padang untuk meninjau lokasi kebakaran sejurus menerima maklumat insiden yang berlaku di Cabang tiga Kedai Buloh , sekitar pukul 10 malam tadi.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat pihak bomba, tragedi berkenaan melibatkan lapan buah rumah yang terjejas akibat kebakaran itu.
“Saya menerima berita kebakaran yang berlaku di Cabang 3 Kedai Buloh sekitar pukul 10 malam tadi dan terus bergegas turun meninjau lokasi kejadian. Menurut pihak bomba, sebanyak lapan buah rumah telah terlibat dalam insiden ini,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua keluarga yang terkesan dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian berkenaan.
“Takziah diucapkan kepada semua keluarga yang terkesan. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini. Insya-Allah, kita akan berusaha untuk bertemu serta menyantuni semua mangsa yang terlibat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak bomba atas tindakan pantas dalam mengawal kebakaran daripada terus merebak, sekali gus mengelakkan kerosakan yang lebih besar.












