Pidato, busana, silat cetus fenomena Himpunan Alam Melayu 2026
Oleh: Norzana Razaly | Foto: Media UPDI
KUALA NERUS, 4 April – Gabungan pidato berwibawa, busana tradisional yang sarat identiti serta seni mempertahankan diri berteraskan warisan mencetus fenomena Himpunan Alam Melayu 2026 sekali gus memanifestasikan kebangkitan semula jati diri Alam Melayu dalam arus semasa.
Penganjuran program oleh Kerajaan Negeri Terengganu itu memperlihatkan estetika warisan Melayu yang kembali segar dan mengangkat semula kegemilangan tamadun silam dalam kerangka kontemporari.
Ahli Parlimen Kubang Kerian YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kekuatan rumpun Melayu bertunjangkan pegangan teguh kepada Islam sebagai asas akidah dan kesatuan ummah dengan penyertaan wakil dari Malaysia, Acheh (Indonesia), Pattani (Thailand), Vietnam (Champa), Singapura dan Brunei dalam himpunan tersebut mengukuhkan ukhuwah serta semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat serumpun.
“Insya-Allah, ini sebahagian daripada usaha kita untuk menyatukan umat, khususnya Melayu Islam, dalam mengembalikan kegemilangan yang pernah dicapai. Mudah-mudahan segala usaha ini diberkati oleh Allah SWT,” katanya menerusi media sosial, pada Jumaat.
Majlis penutup Himpunan Alam Melayu 2026 disempurnakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu YB Dato' Mohd Nor Hamzah, semalam.
Beliau menyifatkan penganjuran tersebut sebagai platform penting dalam mendekatkan masyarakat kepada akar sejarah dan warisan tamadun Islam.
Katanya, kedatangan Islam tidak memadamkan warisan sedia ada, sebaliknya menyusunnya dengan nilai dan adab yang lebih tinggi sehingga membentuk jati diri Melayu-Islam yang sederhana, seimbang dan berakar umbi.
“Tanggungjawab kita hari ini adalah memastikan jati diri ini terus hidup, bukan sekadar sebagai nostalgia, tetapi sebagai asas membimbing generasi akan datang menghadapi dunia yang semakin kompleks,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa terharu apabila program tersebut mencipta fenomena tersendiri dengan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung yang membanjiri pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Suasana luar biasa jelas terpancar apabila pengunjung tampil lengkap berbusana Melayu tradisional, daripada kanak-kanak hingga dewasa, dengan tanjak digayakan megah, samping dililit kemas serta baju Melayu pelbagai potongan dan warna menghiasi ruang acara.
Antara pengisian utama ialah sesi pidato yang disampaikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu, menampilkan tokoh dari pelbagai negara yang berjaya menyuntik semangat kebanggaan dan kesatuan dalam kalangan hadirin.
Barisan pemidato termasuk Nik Mansour Nik Abdul Halim dari Vietnam, Muhammad Aladee Zakariya dari Pattani serta Prof Dr Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad dari Universiti Putra Malaysia.
Turut menyampaikan pidato ialah Profesor Dr Ahmad Omar Japakia dari Pattani, Dato Kiam Radja Tuan Guru, Profesor Dr Fekry Juliansyah dari Aceh dan Profesor Dr Syed Khairuddin Al Junaid dari Singapura.
Selain itu, persembahan Seni Silat Alam Melayu turut memukau hadirin menerusi aksi tokoh silat terkenal seperti Wan Hizhan Wan Jusoh atau Ayah Mad Dungun dan bekas juara silat negara Ruzaidi Abdul Rahman yang mempamerkan kehalusan gerak seni warisan bangsa.
Program tersebut turut dihadiri Pengarah Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 YB Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu Hishamuddin Abdul Karim.



















