Accessibility Tools

Skip to main content

Ahli Parlimen Marang, YB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang


Sidang Khas Parlimen perlu diadakan segera, tangani kesan ekonomi global – Tan Sri Abdul Hadi

Oleh: Norzana Razaly

KUALA NERUS, 3 April – Ahli Parlimen Marang YB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mencadangkan agar satu sidang khas Parlimen diadakan segera bagi membolehkan semua ahlinya membincangkan langkah komprehensif menangani tekanan ekonomi global yang semakin dirasai rakyat.

Beliau menegaskan, pendekatan inklusif menerusi penglibatan semua wakil rakyat penting kerana kesan ekonomi tidak terhad kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya melibatkan seluruh rakyat negara ini.

“Kita mencadangkan supaya diadakan sidang khas Parlimen. Semua pandangan perlu dibincangkan secara terbuka dan menyeluruh. Perdana Menteri sewajarnya mengambil langkah ini kerana kita berada dalam satu kapal.

“Bukan kerajaan sahaja yang menerima kesan ekonomi, bahkan seluruh rakyat turut merasainya. Oleh itu, isu ini perlu dipikul bersama tanpa mengira perbezaan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Duha Khas sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Pekarangan Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak, di sini, hari ini.

Program anjuran Kerajaan Negeri Terengganu itu merupakan antara acara utama negeri Terengganu sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurut Tan Sri Abdul Hadi lagi, perbezaan politik wajar diketepikan dalam situasi semasa demi memastikan dasar dan tindakan yang diambil lebih menyeluruh serta berkesan.

“Kerajaan tidak boleh bergerak bersendirian dalam menghadapi cabaran ini. Penglibatan semua pihak akan memperkaya perbincangan dan menghasilkan keputusan yang lebih tuntas,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Tan Sri Abdul Hadi turut menyentuh isu krisis tenaga global yang berpunca daripada konflik geopolitik, sedangkan Malaysia mempunyai sumber sendiri serta potensi kerjasama serantau yang boleh dimanfaatkan.

“Isu tenaga hari ini banyak dipengaruhi konflik peperangan, sedangkan negara kita memiliki sumber minyak. Kita juga boleh memperluas kerjasama dengan negara jiran seperti Indonesia yang merupakan anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

“Kekurangan pendekatan kerjasama ini antara faktor yang menyumbang kepada tekanan inflasi sehingga memberi kesan langsung kepada rakyat,” jelasnya.

Mengulas konflik di Asia Barat, beliau turut mengkritik tindakan pihak yang memulakan serangan sehingga mencetuskan ketegangan berpanjangan di rantau berkenaan.

“Saya melihat pihak yang memulakan serangan bertindak secara angkuh dan berterusan. Konflik ini akan berlarutan sehingga satu pihak benar-benar mengaku kalah atau dipaksa menerima hakikat kekalahan,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!