Accessibility Tools

Skip to main content

Wanita Melayu penghubung perpaduan ummah berteraskan warisan, hikmah

Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: UPDI

KUALA NERUS, 2 April – Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Hajah Mumtaz Md Nawi menegaskan bahawa kekuatan wanita Melayu berakar daripada warisan adat dan tradisi Islam yang membentuk identiti, kepimpinan serta peranan strategik dalam memperkukuh perpaduan ummah.

Beliau berkata, dalam konteks Malaysia yang kaya dengan adat Melayu Islam, nilai budaya menjadi asas pembinaan jati diri wanita yang berperanan sebagai pemacu masyarakat.

“Warisan ini membentuk kekuatan wanita hingga lahir pepatah ‘biar mati anak, jangan mati adat’ yang menggambarkan betapa tinggi nilai adat dalam kehidupan masyarakat Melayu.

“Rumpun Melayu kaya dengan adat istiadat, sama ada bersifat lazim, rasmi mahupun istana yang semuanya membentuk disiplin sosial dan kepimpinan wanita,” katanya ketika berkongsi pandangan dalam Slot Bicara Wanita Alam Melayu sempena Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah & Himpunan Alam Melayu Kali Ke-5 di sini, hari ini.

Program berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 April di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu dan dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, YB Dato’ Mohd Nor Hamzah mewakili Menteri Besar Terengganu YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, pada pukul 10 pagi tadi.

Menurut Dato' Mumtaz, budaya Melayu turut mengangkat wanita melalui bahasa, seni dan ilmu sebagai medium pembentukan tamadun yang halus tetapi berpengaruh.

“Bahasa itu sendiri digelar bahasa ibunda, mencerminkan peranan wanita dalam melahirkan santun, adab dan pelbagai lenggok bahasa. Kita juga memiliki tulisan Jawi yang menjadi wahana penghasilan kitab-kitab ilmu.

“Dalam seni pula, gerak tari yang lembut termasuk dalam silat menunjukkan keindahan yang tersimpan kekuatan yang lembut pada zahir, namun mampu mempertahankan diri,” jelasnya.

Slot tersebut dimoderatorkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional YB Zuraidah Md Noor, manakala dua lagi ahli panel ialah Wali Kota Banda Aceh, Indonesia Illiza Sa’aduddin Djamal serta sarjana dari Brunei Darussalam YM Dr. Dayang Ummi Fa’izah Abd Rahman.

Mengulas aspek pemerkasaan wanita, Dato’ Mumtaz menekankan bahawa kepimpinan wanita Melayu berakar dari institusi keluarga yang menjadi asas pembinaan masyarakat.

“Wanita dalam kepimpinan Melayu bermula daripada nenek kepada ibu dan anak. Jadi, isteri memerlukan sahabat dan pendokong daripada suami, manakala ibu ialah pendakwah utama dalam keluarga,” katanya.

Beliau turut menyorot sejarah kegemilangan empayar Melayu yang menyaksikan wanita memainkan peranan besar dalam kepimpinan, selain mengangkat figura seperti Cik Siti Wan Kembang sebagai contoh tokoh wanita berwibawa yang menguasai pelbagai bahasa dan berpengaruh dalam pentadbiran.

Katanya, kekuatan wanita hari ini turut didukung oleh pencapaian semasa termasuk kadar literasi dan penyertaan tinggi dalam institusi pengajian tinggi yang melahirkan sumber insan berkualiti.

“Wanita membentuk hampir 50 peratus populasi dan menjadi tunjang kepada generasi yang dibina dengan kebijaksanaan dan hikmah. Asasnya tetap sama, berpaksikan al-Quran, doa dan solat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan wanita berperanan sebagai penghubung yang menyatukan masyarakat merentas pelbagai lapisan.

“Wanita menjadi penyatu dalam hubungan keluarga, kejiranan dan komuniti. Mereka juga berperanan dalam menjayakan program kewanitaan, kanak-kanak, keluarga, kebajikan dan keilmuan di pelbagai lokasi seperti masjid, sekolah, pasar dan ruang komuniti.

“Pendekatan kini turut melibatkan platform digital bagi memastikan mesej dakwah dan perpaduan dapat disampaikan secara lebih meluas dan berkesan,” katanya.

Tambahnya, peranan wanita sebagai ejen perpaduan perlu diperkukuh merentas pelbagai dimensi termasuk antara puak, parti, negeri, serantau hingga ke peringkat antarabangsa.

“Wanita juga boleh menjadi duta budaya melalui makanan dan seni, dengan kekuatan senyuman dan santunan yang menjadi identiti Melayu,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!