Accessibility Tools

Skip to main content

Kesatuan ummah perlu diperkasa melalui kekuatan ekonomi

KUALA TERENGGANU, 2 April – Kesatuan ummah tidak boleh berdiri hanya atas semangat dan retorik, sebaliknya memerlukan asas ekonomi yang kukuh bagi memastikan kelangsungan kemandirian serta daya tahan menghadapi tekanan luar.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu YB Dato’ Mohd Nor Hamzah menegaskan, kekuatan ekonomi merupakan tunjang utama dalam memperkukuh kesatuan ummah secara menyeluruh.

“Kesatuan juga memerlukan asas yang kukuh dari aspek ekonomi. Tanpa kekuatan ekonomi, kita akan terus bergantung dan mudah terdedah kepada tekanan daripada luar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar Terengganu YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, merasmikan Program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, hari ini. 

Menurutnya, usaha memperkasa ekonomi ummah perlu digerakkan secara tersusun dan strategik melalui pembangunan keupayaan, pembukaan peluang ekonomi serta pengagihan kemakmuran yang lebih menyeluruh.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa ada yang tercicir,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dato' Mohd Nor menyifatkan tema “Satu Ummah” yang diangkat menerusi program bertaraf antarabangsa itu amat bertepatan dengan realiti semasa yang menyaksikan kesatuan sering diuji oleh pelbagai perbezaan dan kepentingan.

“Kita hidup dalam zaman yang mencabar di mana perbezaan mudah menjadi jurang yang dalam, manakala kesatuan pula sentiasa diuji oleh kepentingan yang pelbagai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar kembali kepada asas kesatuan sebenar dengan berpaksikan nilai ilmu, adab dan rasa hormat dalam mengurus kepelbagaian.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa tradisi Alam Melayu yang diwarisi sejak sekian lama telah membentuk kerangka pemikiran, bahasa dan kenegaraan yang tersendiri, seterusnya diperkukuh dengan kedatangan Islam yang menyusun nilai tersebut dengan adab yang lebih tinggi.

“Daripada gabungan ini lahirlah jati diri Melayu-Islam yang sederhana, seimbang dan berakar umbi. Tanggungjawab kita hari ini adalah memastikan jati diri ini terus hidup, bukan sekadar nostalgia, tetapi sebagai panduan menghadapi dunia yang semakin kompleks,” jelasnya.

Tambahnya, kepelbagaian mazhab dan pandangan dalam kalangan umat Islam merupakan suatu realiti yang perlu diurus dengan bijaksana.

“Apa yang penting ialah bagaimana kita mengurus perbezaan itu dengan ilmu, adab dan rasa hormat. Di situlah terletaknya kekuatan sebenar sesebuah ummah,” katanya.

Program tersebut menghimpunkan para cendekiawan, budayawan dan pemimpin masyarakat dari Brunei, Filipina, Indonesia, Thailand, Singapura, Vietnam, Sri Lanka dan Malaysia bagi memperkukuh jaringan perpaduan ummah dan memperkasa peranan Alam Melayu di pentas global.

Pautan berjaya disalin!