Setiap DUN disaran tubuh koperasi, pacu ekonomi setempat
Oleh: Asri Hamat
PASIR PUTEH, 2 April - Semua Dewan Negeri (DUN) disaran menubuhkan koperasi masing-masing dalam usaha memperkukuh ekonomi setempat serta memanfaatkan potensi keusahawanan yang tersedia.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, mana-mana DUN yang belum mempunyai koperasi perlu mengambil langkah segera untuk menubuhkannya dalam masa terdekat.
Katanya, ketika ini terdapat Pusat Khidmat DUN (PKD) yang sudah memulakan langkah menubuhkan koperasi, namun masih ada yang belum berbuat demikian.
"Jadi, kita mahu semua DUN memastikan perkara ini dilaksanakan segera,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Keusahawanan dan Koperasi, anjuran Pusat Kajian Strategik (PKS) di Jeram Mengaji Agro Resort, Selising di sini pada Rabu.
Beliau menjelaskan, setiap PKD mempunyai jentera yang besar dan berpotensi untuk menggerakkan penubuhan serta pengurusan koperasi secara berkesan.
Tambahnya, pelbagai peruntukan keusahawanan yang disalurkan melalui portfolio Exco boleh dimanfaatkan bagi menyokong pembangunan koperasi tersebut.
“Sebagai contoh, di bawah Portfolio Keusahawanan mempunyai peruntukan melebihi RM5 juta untuk pembangunan usahawan. Selain itu, terdapat juga dana khusus di bawah Portfolio Pertanian untuk pembangunan usahawan tani.
“Di bawah Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita serta Portfolio Belia juga terdapat pelbagai inisiatif serta peruntukan yang boleh digembleng bersama,” jelasnya.
Menurutnya, saranan supaya setiap DUN mewujudkan koperasi sebagai entiti ekonomi berasaskan komuniti yang boleh menyokong pelbagai aktiviti jentera di kawasan masing-masing.
“Setiap DUN mempunyai pelbagai unit dan jentera. Dengan adanya koperasi, kita bukan sahaja menyasarkan peningkatan ekonomi dalam kalangan usahawan, tetapi juga menjana pendapatan kepada DUN secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Mohamad dalam ucapan perasmian penutup berkata, antara peluang perniagaan paling mudah untuk diterokai koperasi ialah dalam bidang pembekalan, khususnya bagi projek pembangunan kerajaan.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Mohamad
“Pembekalan adalah ‘low hanging fruit’ kerana ia tidak memerlukan risiko tinggi, hanya perlu ada entiti dan sedikit modal permulaan. Jika koperasi DUN dapat memainkan peranan sebagai pembekal, keuntungan itu akan kembali kepada DUN sendiri,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan merebut peluang tersebut akan menyebabkan kerugian kepada DUN kerana manfaat ekonomi berkemungkinan dinikmati pihak luar.
Sehubungan itu, semua pihak diseru agar segera menggerakkan penubuhan koperasi di peringkat DUN sebagai langkah strategik memperkukuh ekonomi rakyat dan komuniti setempat.












