Dua unit 'choley' bantu usahawan tani di Salor
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 2 April – Kerajaan Negeri Kelantan terus komited memperkasa sektor pertanian apabila dua unit kenderaan utiliti ‘choley’ diserahkan kepada penerima terpilih melalui Skim Pertanian Al-Falah yang menyasarkan peningkatan produktiviti golongan petani dan penternak dalam satu majlis di Pusat Khidmat DUN Salor, semalam.
Majlis penyerahan tersebut disempurnakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Salor YB Mohd Saizol Ismail kepada dua penerima iaitu Wan Mohd Zahin Wan Yusof, 35, dari Kampung Binjai 2, Kedai Mulong dan Mohamad Rostam Mohd Yaacob, 32, dari Seberang Pasir Mas.
“Insya-Allah, moga-moga dengan sumbangan daripada Kerajaan Negeri ini di bawah Skim Pertanian Al-Falah, dapat membantu saudara-saudara kita dalam menjalankan aktiviti harian, khususnya dalam penternakan seperti mengangkut rumput, peralatan serta barangan pertanian termasuk hasil padi,” katanya menerusi media sosial, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau yang mewakili pihak DUN Salor turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas keprihatinan berterusan dalam membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan ekonomi.
“Terima kasih diucapkan kepada pihak Kerajaan Negeri atas bantuan yang disalurkan kepada rakyat di DUN Salor. Semoga usaha ini terus diperkukuh demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.










