Harga diesel RM6.02: Rakyat berhak dapat penjelasan menyeluruh- Speaker DUN Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 2 April — Speaker Dewan Negeri (DUN) Kelantan YB Dato' Sri Amar Diraja Dato' (Dr.) Mohd Amar Abdullah menegaskan rakyat berhak memperoleh penjelasan yang jelas dan menyeluruh berhubung kenaikan mendadak harga diesel di Semenanjung Malaysia yang mencecah RM6.02 seliter bagi minggu pertama April tahun ini.
Menurutnya, dalam tempoh hanya empat minggu, harga diesel dilaporkan meningkat hampir dua kali ganda berbanding paras awal pada Mac, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelbagai sektor ekonomi.
“Kenaikan ini memberi kesan langsung kepada rantaian ekonomi, khususnya melibatkan nelayan, pengusaha logistik, sektor pertanian serta perniagaan kecil.
"Tekanan kos yang meningkat akhirnya akan dipindahkan kepada rakyat melalui kenaikan harga barangan harian,” katanya menerusi media sosial, pada Rabu.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan bahawa lonjakan harga minyak mentah global serta gangguan bekalan produk bertapis menjadi antara faktor utama kenaikan harga tersebut.
Walau bagaimanapun, beliau berpandangan penjelasan itu masih belum mencukupi.
“Rakyat memerlukan gambaran penuh, termasuk kos sebenar yang ditanggung kerajaan, asas pengiraan harga mingguan serta langkah konkrit bagi menstabilkan bekalan diesel,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mengakui pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol RON95 sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pengguna.
Namun, menurutnya sebahagian besar pengguna diesel masih terdedah kepada turun naik harga pasaran pada kadar yang tinggi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar bantuan sedia ada dinilai semula supaya lebih realistik dan selari dengan penggunaan sebenar di lapangan.
Tambahnya, peranan strategik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) juga wajar diperkukuh dalam situasi harga global yang meningkat bagi memastikan perlindungan lebih jelas kepada rakyat.
“Ketelusan dalam dasar harga serta keberanian membuat penyesuaian akan menentukan tahap keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Rakyat memahami cabaran global, namun mereka juga berhak mendapat penjelasan lengkap dan tindakan yang meyakinkan,” tegasnya.








