Kejayaan tidak hanya diukur melalui keputusan peperiksaan – Exco Sumber Manusia
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 2 April – Kejayaan seseorang pelajar tidak hanya diukur berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata, sebaliknya boleh dilihat melalui usaha, kecekalan dan keazaman seseorang pelajar.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata demikian ketika merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
“Ingatlah bahawa kejayaan tidak hanya diukur melalui keputusan peperiksaan semata-mata, tetapi juga melalui usaha, kecekalan dan keazaman untuk terus maju,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.
Beliau turut menyeru pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang agar terus mengekalkan momentum kecemerlangan ke peringkat seterusnya.
“Bagi yang memperoleh keputusan cemerlang, teruskan momentum kecemerlangan ini ke peringkat seterusnya.
“Manakala bagi yang belum mencapai apa yang diharapkan, jangan berputus asa,” ujarnya.
Menurutnya, keputusan yang diterima merupakan hasil usaha gigih, pengorbanan dan kesungguhan sepanjang tempoh pembelajaran, serta tetap mempunyai nilai tersendiri dalam perjalanan hidup setiap pelajar.
“Keputusan yang diperoleh hari ini adalah hasil daripada usaha gigih, pengorbanan, dan kesungguhan sepanjang tempoh pembelajaran. Sama ada keputusan yang diterima menepati sasaran atau sebaliknya, setiap langkah yang diambil tetap mempunyai nilai dan makna tersendiri dalam perjalanan hidup,” katanya.
Tambahnya, kejayaan tersebut turut dikongsi bersama ibu bapa, guru serta semua pihak yang sentiasa memberi sokongan tanpa jemu sepanjang tempoh peperiksaan.
“Kejayaan ini bukan sahaja milik pelajar, tetapi turut dikongsi bersama ibu bapa, guru-guru dan semua yang sentiasa memberi sokongan tanpa jemu. Doa, dorongan dan bimbingan mereka menjadi kekuatan utama dalam menghadapi cabaran sepanjang tempoh peperiksaan,” katanya.








