75 pasangan ikuti Kursus Pra Perkahwinan, asas keluarga sakinah diperkukuh – YB Ku Mohd Zaki
Oleh: Irham Hilmi Hashim
DABONG, 1 April - Sebanyak 75 pasangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dabong menyertai Kursus Pra Perkahwinan Islam Fasa 1 Tahun 2026 sebagai antara langkah penting Kerajaan Negeri dalam memastikan bakal pengantin memiliki asas ilmu yang kukuh, sekali gus mampu memperkukuh asas keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Dabong YB Ku Mohd Zaki Ku Hussin berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha berterusan kerajaan negeri Dallam memperkasa institusi kekeluargaan yang menjadi tunjang kepada pembentukan masyarakat sejahtera.
“Inisiatif seperti kursus pra perkahwinan ini penting bagi memastikan setiap pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga mempunyai asas ilmu yang mencukupi, seterusnya mampu membina keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutup kursus berkenaan yang berlangsung di Dewan Surau Hijau Gua Ikan, Kampung Gua Ikan pada Selasa.
Kursus anjuran Jabatan Agama dan Hal Ehwal Islam Kelantan (JAHEIK) itu diadakan di lokasi yang sama selama dua gari bermula pada 30 dan 31 Mac lalu.
Menurut beliau yang juga mantan imam bertauliah, pembinaan institusi keluarga tidak hanya melibatkan penyatuan dua individu, sebaliknya merupakan asas kepada kesejahteraan masyarakat dan negeri secara keseluruhan.
“Ilmu yang diperoleh melalui kursus ini perlu diamalkan dalam kehidupan berumahtangga agar pasangan lebih bersedia menghadapi cabaran serta tanggungjawab selepas perkahwinan,” katanya.
Beliau juga berpandangan, kursus tersebut memberi pendedahan menyeluruh merangkumi tanggungjawab suami isteri, pengurusan emosi, komunikasi berkesan serta pengukuhan kefahaman agama.
Tegasnya, kerajaan negeri melalui pelbagai agensi akan terus komited memperluas pelaksanaan program seumpama itu bagi memberi manfaat kepada lebih ramai bakal pengantin.
“Usaha ini akan terus diperkasa agar pasangan yang bakal melangkah ke alam perkahwinan benar-benar bersedia dari segi ilmu dan sahsiah,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan fasa kedua Kursus Pra Perkahwinan Islam peringkat DUN Dabong dijadualkan berlangsung pada Oktober 2026 bagi membuka peluang kepada lebih ramai pasangan menyertai program berkenaan.














