Ketegangan AS–Iran: Dunia tidak boleh terus jadi pemerhati – YB Nik Bahrum
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 1 April – Ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran yang semakin memuncak ketika ini menuntut pendirian lebih tegas daripada masyarakat antarabangsa, khususnya negara-negara Islam, agar tidak terus bersikap sebagai pemerhati semata-mata.
Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, dunia kini berdepan situasi yang semakin tidak menentu apabila kuasa besar terus mencorakkan konflik, manakala negara lemah menanggung kesan berpanjangan.
Kenyataan itu disiarkan menerusi laman rasmi beliau pada 27 Mac sebagai reaksi terhadap laporan Bernama berhubung penangguhan serangan terhadap infrastruktur tenaga Iran sehingga 6 April.
Menurutnya, pendekatan berkecuali tanpa prinsip tidak lagi relevan dalam situasi semasa, malah boleh dianggap sebagai kegagalan dalam mempertahankan keadilan sejagat.
“Sudah tiba masanya negara-negara umat Islam dan semua yang benar-benar cintakan keamanan bersuara dengan lebih tegas. Bukan dengan retorik, tetapi dengan tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kehadiran pangkalan tentera asing di kawasan bergolak bukan penyelesaian, sebaliknya berpotensi memanjangkan konflik yang sedia ada.
“Jika kita serius tentang kedaulatan, maka campur tangan kuasa luar seperti ini tidak boleh lagi dinormalisasikan,” ujarnya.
Beliau yang juga pengamal undang-undang turut mengingatkan agar setiap negara tidak menjadi alat kepada agenda luar sehingga menjejaskan kedaulatan sendiri, termasuk dalam penggunaan fasiliti strategik seperti pelabuhan, lapangan terbang dan ruang udara.
Selain itu, beliau menuntut supaya pihak yang mencetuskan peperangan dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap kemusnahan dan kehilangan nyawa yang berlaku.
“Setiap nyawa yang hilang, setiap tanah yang musnah, semua itu ada harga dan mesti dibayar dengan tanggungjawab yang nyata,” jelasnya.
Mengulas aspek perpaduan, YB Nik Bahrum menegaskan kelemahan utama dunia Islam bukan terletak pada kekurangan sumber, tetapi perpecahan sesama sendiri yang membuka ruang kepada campur tangan luar.
“Jika satu terluka, yang lain wajib bangkit. Bukan hanya sekadar kenyataan media, tetapi tindakan yang boleh dirasai,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun tidak berada di medan perang, setiap pihak masih mempunyai peranan melalui suara, pendirian dan maruah dalam memastikan keadilan terus ditegakkan di peringkat global.








