FAM Trip perluas promosi pelancongan Kelantan ke pasaran Taiwan
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 1 April — Program Familiarisation Trip (FAM Trip) melibatkan ejen pelancongan dari Taiwan anjuran Tourism Malaysia Taipei dengan kerjasama AirAsia adalah inisiatif strategik dalam memperluas promosi pelancongan Kelantan ke peringkat antarabangsa.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, program berkenaan membuka ruang kepada delegasi luar negara untuk menelusuri keunikan alam semula jadi, warisan budaya serta produk pelancongan tempatan yang menjadi identiti negeri.
Menurutnya, pendedahan secara langsung kepada tarikan pelancongan diyakini mampu meningkatkan daya tarikan Kelantan dalam kalangan pelancong antarabangsa, khususnya dari Taiwan.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor
“Melalui program ini, para delegasi berpeluang melihat sendiri keindahan dan keunikan yang ditawarkan di Kelantan, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka terhadap potensi industri pelancongan negeri,” katanya menerusi media sosial, pada Selasa.
Menurutnya, inisiatif seumpama itu turut mengukuhkan jaringan kerjasama strategik antara pemain industri pelancongan tempatan dan antarabangsa serta memperluas kepercayaan pasaran luar terhadap potensi pelancongan Kelantan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua delegasi yang sudi mengunjungi serta menjelajah negeri ini.
“Diharapkan lawatan ini bukan sahaja memberi pengalaman bermakna kepada para peserta, malah membuka lebih banyak peluang kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada industri pelancongan negeri pada masa hadapan,” ujarnya.
Terdahulu, beliau hadir dan menyampaikan ucapan pada majlis makan malam meraikan delegasi ejen pelancongan Taiwan sempena program FAM Trip ke Pantai Timur Malaysia di sebuah hotel di Kota Bharu, pada Isnin.












