Accessibility Tools

Skip to main content

Sekolah digital dibakal dilancar, e-Tuisyen Rakyat Sejahtera diperkasa

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 1 April - Kerajaan Negeri Kelantan bakal melancarkan inisiatif sekolah digital serta memperkukuh pelaksanaan program e-Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan sebagai langkah strategik melonjak kecemerlangan pelajar, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Kamaruzaman Mohamad berkata, pelaksanaan sekolah digital kini berada di peringkat akhir sebelum dilaksanakan sepenuhnya dalam masa terdekat.

“Sekolah digital merupakan projek bersepadu yang merangkumi aspek pengurusan dan pembelajaran berteraskan teknologi digital. Kita kini di peringkat akhir dan pelaksanaannya dijangka bermula tahun ini,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2025 di Bilik Mesyuarat Utama YIK, Tunjong, semalam.

Beliau berkata, pendekatan tersebut diyakini mampu meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran seterusnya memberi impak positif terhadap pencapaian akademik pelajar.

“Insya-Allah, pelaksanaan sekolah digital ini akan menyumbang kepada peningkatan kecemerlangan pelajar, khususnya calon SPM,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri turut bersetuju memperkasakan program e-Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan yang dilaksanakan sejak tahun lalu.

Menurutnya, program hasil kerjasama Kerajaan Negeri, Telekom Malaysia dan YIK itu telah melibatkan 1,896 pelajar di 52 buah sekolah terpilih.

“Usaha sedang dipergiat untuk membangunkan sistem yang lebih komprehensif bagi membolehkan program ini diperluaskan kepada lebih ramai pelajar secara percuma.

“Jika sebelum ini penyertaan dihadkan kepada 1,896 pelajar, kita kini berusaha memperluaskan akses kepada seramai mungkin calon yang memerlukan,” katanya.

Beliau menegaskan kedua-dua inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan sistem pendidikan kekal relevan, inklusif dan berdaya saing.

“Kerajaan negeri akan terus memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu dari semasa ke semasa bagi memperkukuh kecemerlangan pendidikan di bawah YIK,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!