Accessibility Tools

Skip to main content

Lima inisiatif strategik kerajaan negeri faktor utama peningkatan keputusan SPM 2025

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 1 April — Pelaksanaan lima inisiatif strategik oleh Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pejabat Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi dikenal pasti sebagai antara faktor utama peningkatan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bagi sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Kamaruzaman Mohamad ketika Majlis Pengumuman Keputusan SPM di Bilik Mesyuarat Utama YIK, Tunjong, semalam.

Beliau berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil pelaksanaan menyeluruh lima program utama yang dirangka khusus bagi memperkasa kecemerlangan akademik pelajar, khususnya calon SPM.

“Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan Program A+ Rabbani Bootcamp yang melibatkan kerjasama strategik pelbagai agensi termasuk Institut Latihan Darul Naim (ILDAN), Perbadanan Ladang Rakyat Negeri Kelantan, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kota Bharu, UiTM Kelantan dan Kolej Profesional MARA Kota Bharu dengan penyertaan 100 pelajar,” katanya.

Menurutnya, Program Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan turut diperkukuh melalui peluasan kepada dua kelas bagi setiap 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding satu kelas sebelum ini.

“Kerajaan negeri juga meningkatkan peruntukan bagi setiap DUN daripada RM10,000 kepada RM15,000, menjadikan jumlah keseluruhan perbelanjaan meningkat kepada RM675,000 setahun berbanding RM450,000 sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan e-Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan dengan kerjasama Telekom Malaysia dan Yayasan Islam Kelantan memberi impak signifikan apabila melibatkan 1,896 pelajar di 52 sekolah terpilih.

“Selain itu, Seminar Kecemerlangan SPM Pendidikan Rabbani 2025 dilaksanakan melibatkan 100 peserta daripada 12 sekolah sekitar Kota Bharu serta satu lagi siri seminar yang menghimpunkan 150 peserta,” jelasnya.

YB Kamaruzaman juga memaklumkan, semua inisiatif tersebut merupakan pendekatan bersepadu kerajaan negeri dalam memastikan kecemerlangan pelajar yang seimbang dalam akademik dan sahsiah.

“Kita melihat lima inisiatif ini memberikan impak jelas terhadap peningkatan keputusan SPM 2025, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa pendidikan di bawah kelolaan YIK,” katanya.

Pautan berjaya disalin!