Accessibility Tools

Skip to main content

Kepimpinan Anak Muda Rakan Al-Quran terima watikah pelantikan, perkasa dakwah komuniti

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 1 April– Barisan kepimpinan baharu Anak Muda Rakan Al-Quran Negrri Kelantan menerima watikah pelantikan sebagai simbol amanah dan tanggungjawab dalam meneruskan gerakan dakwah serta pembangunan sahsiah di peringkat komuniti.

Penyerahan watikah tersebut disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Mohamad di bilik mesyuarat Exco, Mabna, Kompleks Kita Darulnaim, semalam. 

YB Zamakhshari berkata, penyerahan watikah itu menjadi titik penting dalam memperkukuh peranan golongan muda sebagai peneraju usaha memperkasa nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi belia.

Beliau berharap kepimpinan baharu  ini terus istiqamah dalam perjuangan, sekali gus berperanan sebagai agen perubahan dan menjadi qudwah hasanah kepada masyarakat.

“Barisan kepimpinan ini diharap mampu menggalas tanggungjawab dengan penuh dedikasi serta menjadi contoh terbaik kepada anak muda lain dalam membina jati diri berteraskan Al-Quran," katanya menerusi media sosial, pada Selasa. 

Beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan menzahirkan komitmen untuk terus menyokong segala inisiatif yang menjurus kepada pembinaan ummah yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

Terdahulu, YB Zamakhshari menerima kunjungan hormat daripada Kepimpinan Anak Muda Rakan Al-Quran di bilik Mesyuarat Exco.

Pertemuan itu disifatkan sebagai platform bermakna bukan sahaja untuk sesi perkenalan, malah sebagai medan pertukaran pandangan dan aspirasi dalam usaha memperkasa generasi muda berlandaskan nilai-nilai Al-Quran.

Program tersebut turut mengangkat tema “Anak Muda Rabbani, Pemacu Masa Depan Negeri” sebagai aspirasi dalam melahirkan generasi muda yang holistik dan berdaya kepimpinan tinggi.

Pautan berjaya disalin!