SPM 2025: 97.84 peratus pelajar YIK lulus, 41 sekolah capai 100 peratus
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 31 Mac - Sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) mencatatkan pencapaian memberangsangkan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 apabila merekodkan kadar kelulusan penuh 97.84 peratus, dengan 41 buah sekolah mencapai keputusan 100 peratus.
Pengumuman rasmi itu disampaikan Timbalan Exco Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Kamaruzaman Mohamad dalam satu sidang media di Bilik Mesyuarat Utama Yayasan Islam Kelantan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 4,813 calon daripada 83 sekolah YIK menduduki peperiksaan SPM tahun ini, berbanding 5,090 calon pada tahun sebelumnya.
“Walaupun jumlah calon menurun, prestasi keseluruhan menunjukkan peningkatan apabila kadar kelulusan penuh naik sebanyak 0.34 peratus berbanding 97.50 peratus pada tahun lalu,” jelasnya.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 95 pelajar memperoleh keputusan berpangkat, manakala hanya sembilan calon gagal semua mata pelajaran.
“Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan pendekatan pendidikan yang dilaksanakan di institusi YIK serta komitmen berterusan semua pihak dalam memastikan kualiti pendidikan kekal cemerlang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 41 sekolah berjaya mencapai kelulusan 100 peratus, sekali gus membuktikan keupayaan institusi pendidikan YIK dalam melahirkan pelajar berprestasi tinggi.
“Berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), tiga sekolah terbaik ialah Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah dengan GPS 2.05, diikuti Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (GPS 2.65) dan Maahad Sains Tok Guru (GPS 2.69),” ujarnya.
Dalam pada itu, kecemerlangan turut terserlah apabila 216 pelajar memperoleh keputusan antara 9A hingga 12A, termasuk 92 pelajar yang meraih semua A dalam semua mata pelajaran.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat mencipta kejayaan tersebut daripada hasil usaha bersepadu antara guru, ibu bapa dan pelajar yang komited dalam memastikan kecemerlangan akademik.
“Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada MAIK, YAKIN, ILDAN, IPG, UiTM serta semua pihak yang menyumbang kepada pembangunan pendidikan di Kelantan.
“Tahniah kepada pelajar cemerlang dan penghargaan kepada seluruh warga pendidik yang memainkan peranan penting dalam memajukan sistem pendidikan negeri,” katanya.
Beliau juga berharap pencapaian SPM 2025 akan menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh kecemerlangan akademik serta melahirkan generasi pelajar yang holistik dan berdaya saing.












