Darul Niswah perkukuh peranan wanita di peringkat komuniti
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 31 Mac – Darul Niswah terus memperkukuh peranan wanita di peringkat komuniti melalui pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran, ekonomi serta kesejahteraan keluarga.
Sebagai pusat aktiviti wanita di bawah seliaan Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa), Darul Niswah memainkan peranan penting dalam menyediakan platform pembangunan diri wanita menerusi pelbagai kursus dan latihan berasaskan kemahiran.
Antara program yang dilaksanakan termasuk latihan jahitan tangan, kraftangan, pemprosesan makanan serta minuman sihat, selain penganjuran kursus kulinari desa yang menekankan penghasilan makanan tradisional, makanan Barat dan kuih-muih.
Pengerusi Darul Niswah Negeri Kelantan Datin Bentara Kanan Siti Zabidah Ab Hamid berkata kejayaan pelaksanaan program bergantung kepada penyelarasan yang mantap serta komitmen kepimpinan di peringkat Dewan Negeri (DUN).
Menurutnya, pendekatan bersepadu tersebut penting bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada wanita di peringkat komuniti dan mukim.
“Usaha ini memastikan setiap program yang dirancang dapat memberi impak nyata kepada wanita, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan keluarga serta pembangunan sosial masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Darul Niswah yang berlangsung di Mabna, pada Isnin.
Mesyuarat tersebut menghimpunkan Pengerusi dan Setiausaha Darul Niswah dari 45 DUN seluruh negeri sebagai langkah memperkukuh penyelarasan pengurusan serta memperkemas pelaksanaan program pembangunan wanita.
Tambahnya, Darul Niswah akan terus diperkasa sebagai platform utama dalam membangunkan potensi wanita, khususnya dalam memperkukuh peranan mereka sebagai pemangkin ekonomi keluarga dan komuniti.
Beliau menyifatkan inisiatif berterusan itu selari dengan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa wanita sebagai aset penting dalam pembangunan masyarakat yang seimbang dan berdaya tahan.












