Pelajar Cemerlang SPM 2025 diseru jadi insan berilmu, bertakwa
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 31 Mac – Para pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 diseru agar terus membina jati diri sebagai insan berilmu dan bertakwa, selaras dengan tuntutan pendidikan berteraskan nilai Islam.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, kejayaan akademik perlu diseimbangkan dengan pembentukan sahsiah diri yang unggul berasaskan nilai keagamaan.
Menurutnya, pelajar perlu memastikan kecemerlangan yang dicapai tidak hanya terhad kepada pencapaian akademik, sebaliknya disertai amalan seperti menunaikan solat, menjaga akhlak serta sentiasa berdoa dalam meniti perjalanan menuntut ilmu.
“Pelajar perlu meneruskan usaha gigih untuk cemerlang dan membentuk generasi rabbani. Jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab kepada Allah SWT dalam mengejar kejayaan duniawi,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.
Beliau berkata, pendekatan tersebut selari dengan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang diteruskan melalui Strategi Pengukuhan MBI (PMBI), berteraskan tiga prinsip utama iaitu Ubudiyyah (pengabdian kepada Allah), Mas’uliyyah (amanah dalam tanggungjawab) dan Itqan (kesungguhan serta kecemerlangan).
Tambahnya, prinsip UMI perlu dijadikan panduan dalam kehidupan seharian, bukan sahaja dalam aspek akademik, malah dalam membentuk keperibadian dan jati diri pelajar.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon SPM 2025 atas usaha dan pencapaian masing-masing.
“Semoga setiap usaha yang dilakukan diberkati Allah SWT dan mampu melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak serta bertakwa,” katanya.








