Accessibility Tools

Skip to main content

Syabas dan tahniah kepada pelajar SPM 2025 – MB Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 31 Mac – Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dengan pencapaian masing-masing.

Kata beliau, setiap keputusan yang diperoleh wajar disyukuri sebagai ketentuan Allah SWT, di samping menghargai peranan guru serta ibu bapa yang menjadi tonggak utama kejayaan pelajar.

“Saya ucapkan tahniah kepada anak-anak atas pencapaian dalam peperiksaan SPM. Ucapkanlah syukur kepada Allah SWT atas segala keputusan yang diperoleh.

“Jangan dilupakan jasa guru yang mendidik serta ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan,” katanya di media sosial, hari ini.

Menurutnya, para pelajar kini berada di ambang fasa baharu kehidupan selepas menamatkan alam persekolahan, sekali gus perlu bersedia untuk menentukan hala tuju masing-masing.

"Apa jua bidang yang dipilih perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan kerana Allah SWT agar setiap usaha menjadi sebahagian daripada amal soleh.

“Lakukanlah setiap perkara dengan bersungguh-sungguh supaya kejayaan yang dicapai bukan sahaja di dunia, malah di akhirat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa kejayaan di dunia dan di akhirat  tersebut selari dengan dasar Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang kini diteruskan melalui Strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).

Tambahnya, terdapat tiga prinsip utama yang menjadi teras iaitu Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI) yang membawa maksud pengabdian kepada Allah SWT, amanah dalam tanggungjawab serta kesungguhan dan kecemerlangan dalam setiap pekerjaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru para pelajar agar menanam nilai-nilai berkenaan dalam diri dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

“Semoga setiap langkah dan usaha kita sentiasa diberkati serta membimbing kita menjadi hamba Allah yang bertakwa,” ujarnya.