Hubungan strategik pentadbiran negeri diperkukuh, MB Kelantan terima kunjungan PPTN
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 31 Mac – Hubungan strategik antara kepimpinan negeri dan barisan pegawai tadbir terus diperkukuh apabila Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menerima kunjungan hormat Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan (PPTN) di Kediaman Rasmi Menteri Besar, semalam.
Kunjungan yang diketuai Presidennya Dato’ Ab. Pattah Hasbullah bersama barisan ahli jawatankuasa itu menjadi platform penting dalam merapatkan kerjasama strategik bagi memperkasa kecekapan serta profesionalisme jentera pentadbiran negeri.
Menurut Menteri Besar, pertemuan tersebut memberi ruang bermakna untuk memperkukuh hubungan antara kepimpinan kerajaan negeri dan pegawai tadbir yang merupakan tulang belakang kepada sistem pentadbiran.
“Kunjungan ini menjadi ruang yang signifikan dalam merapatkan hubungan strategik antara kepimpinan negeri dan pegawai tadbir yang memainkan peranan penting dalam jentera pentadbiran,” katanya.
Beliau berkata, pertemuan berkenaan turut membuka ruang perbincangan menyeluruh melibatkan aspek kebajikan, peningkatan profesionalisme serta peranan pegawai tadbir dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri.
“Pelbagai perkara dibincangkan secara konstruktif, khususnya berkaitan kebajikan, pemerkasaan profesionalisme serta peranan pegawai tadbir dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam berada pada tahap terbaik,” jelasnya.
Menurutnya, pegawai tadbir memainkan peranan signifikan dalam memastikan setiap dasar kerajaan dirancang, dilaksanakan dan diselaras secara cekap serta berkesan.
“Keupayaan pegawai tadbir memberi impak langsung kepada keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa peranan PPTN amat penting dalam menjaga kebajikan serta memperkukuh profesionalisme pegawai tadbir negeri.
“Saya berharap kerjasama erat ini terus diperkasa bagi memastikan pentadbiran negeri kekal berintegriti, cekap dan berdaya saing demi manfaat rakyat,” ujarnya.












