Accessibility Tools

Skip to main content

Lonjakan harga input pertanian global bakal tekan kos makanan – Exco Pertanian

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 31 Mac – Lonjakan harga input pertanian di peringkat global, khususnya baja, dijangka memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran makanan dan seterusnya harga makanan yang ditanggung rakyat dalam tempoh terdekat.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, perkembangan tersebut bukan sekadar turun naik biasa harga komoditi, sebaliknya merupakan ujian besar terhadap ketahanan sistem makanan negara.

Kenyataan itu dibuat susulan kenyataan media oleh Pengerusi Lajnah Kesenian dan Kelestarian Alam Sekitar (LATAS) YB Dato’ Dr Azman Ibrahim pada 29 Mac, yang menyentuh isu peningkatan kos input pertanian global.

Menurutnya, kebergantungan tinggi Malaysia terhadap import, terutama makanan ternakan seperti jagung dan soya, menyebabkan negara terdedah kepada sebarang gangguan bekalan serta kenaikan harga di pasaran global.

“Walaupun harga semasa dilihat masih stabil, keadaan ini bersifat sementara kerana ia bergantung kepada stok lama, subsidi serta penyerapan kos oleh pengeluar.

“Dalam tempoh antara dua hingga enam bulan akan datang, kesan sebenar peningkatan kos global ini dijangka mula dirasai oleh pengguna,” katanya di laman rasmi, semalam.

Dato' Tuan Saripudin turut menjelaskan bahawa kelemahan utama sistem makanan negara adalah tahap sara diri yang masih rendah serta pergantungan berterusan kepada import, sekali gus meningkatkan risiko kekurangan bekalan dan ketidaktentuan harga.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa LATAS mencadangkan beberapa langkah strategik bagi menangani isu berkenaan.

Antaranya termasuk mewujudkan stok penimbal strategik bagi baja dan makanan ternakan, mempelbagaikan sumber import bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan, serta memperkukuh pengeluaran input tempatan seperti biofertiliser dan makanan ternakan alternatif.

Selain itu, pelaksanaan subsidi bersasar berasaskan data juga dicadangkan bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Reformasi struktur perlu disegerakan bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara serta mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat,” ujarnya.