Accessibility Tools

Skip to main content

Pemangku Raja Kelantan angkat sumpah Pengerusi SPN Kelantan Baharu

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 31 Mac – Pemangku Raja Kelantan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra berkenan mengangkat sumpah sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) Kelantan yang baharu.

Majlis tersebut berlangsung di Istana Kota Lama pada Isnin. 

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, dalam majlis berkenaan, Yang Maha Mulia Tuanku berkenan mengangkat sumpah sebagai Pengerusi SPN Kelantan yang baharu serta menandatangani dokumen angkat sumpah.

“Istiadat mengangkat sumpah tersebut disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu Yang Arif Dato' Hasbullah Adam,” katanya menerusi media sosial, semalam. 

Menurutnya, pelantikan tersebut adalah sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh peranan SPN sebagai institusi utama dalam memastikan kelancaran urusan perkhidmatan awam negeri.

“Semoga SPN Negeri Kelantan terus diperkasa dalam memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan mutu perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat dan negeri,” ujarnya.