Accessibility Tools

Skip to main content

Pelaksanaan diyat, jamin hak keluarga mangsa pemandu mabuk terbela – YB Abdul Latiff

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman mengusulkan agar konsep bayaran diyat dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam rang undang-undang negara sebagai mekanisme keadilan tambahan, khususnya dalam kes kematian akibat kemalangan melibatkan pemandu mabuk dan kecuaian.

Beliau berkata, cadangan itu penting bagi memastikan kebajikan keluarga mangsa tidak terpinggir, di samping memperkukuh aspek keadilan dalam sistem perundangan sedia ada.

Menurutnya, perkara tersebut telah dibangkitkan dalam perbahasan persidangan Parlimen sebelum ini susulan beberapa kes kemalangan maut membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol.

“Saya mencadangkan agar kerajaan memasukkan bayaran diyat kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan melibatkan pemandu mabuk,” katanya, ketika dihubungi, hari ini.

Beliau menjelaskan, diyat merupakan salah satu bentuk hukuman dalam undang-undang jenayah Islam yang berperanan sebagai pampasan kepada keluarga mangsa sekiranya mereka memilih untuk tidak menuntut qisas.

Katanya, pensyariatan diyat membuktikan bahawa nyawa manusia amat tinggi nilainya di sisi Islam, selain menyeimbangkan tuntutan keadilan dengan sifat ihsan serta membuka ruang perdamaian antara pihak terlibat.

“Pensyariatan diyat menunjukkan bahawa nyawa manusia amat berharga dalam Islam, di samping menyeimbangkan antara keadilan dan belas kasihan serta membuka ruang perdamaian antara pihak yang terlibat,” ujarnya.

Tambahnya, pelaksanaan diyat juga mampu mengelakkan berlakunya dendam berpanjangan dalam masyarakat, sekali gus menyumbang kepada suasana yang lebih harmoni.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik langkah kerajaan untuk meminda undang-undang berkaitan kesalahan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dengan hukuman yang lebih berat.

“Kerajaan telah bersetuju untuk meminda undang-undang dalam sidang kali ini, termasuk cadangan denda sehingga RM150,000, penjara sehingga 20 tahun serta penarikan lesen. Ini satu langkah yang baik dalam mengekang gejala pemandu mabuk,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa aspek kebajikan keluarga mangsa tidak wajar diabaikan dalam usaha memperketat hukuman terhadap pesalah.

“Dalam masa yang sama, saya juga berharap kerajaan tidak melupakan keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat dilanggar pemandu mabuk. Adalah satu ketidakadilan sekiranya mangsa dan keluarga tidak mendapat apa-apa akibat kecuaian tersebut,” katanya.

Beliau berkata, konsep diyat wajar diperhalusi dan dipertimbangkan secara serius dalam kerangka perundangan negara demi menjamin keadilan yang lebih menyeluruh serta berteraskan nilai kemanusiaan.

“Saya mohon kerajaan memasukkan sekali bayaran ini agar keluarga mangsa turut terbela,” ujarnya.