Mansuh peruntukan RM3.5 juta ahli parlimen kerajaan lebih berkesan – YB Ahmad Fadhli
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KUALA LUMPUR, 30 Mac – Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan mempertimbangkan pemansuhan peruntukan khas sebanyak RM3.5 juta kepada setiap Ahli Parlimen blok kerajaan sebagai langkah penjimatan yang lebih berkesan dalam suasana ketidaktentuan global ketika ini.
Menurutnya, langkah tersebut berpotensi menjimatkan sehingga kira-kira setengah bilion ringgit setahun, sekali gus memberi ruang lebih luas kepada kerajaan untuk menyalurkan bantuan secara terus kepada rakyat, tanpa mengira kawasan Parlimen.
Beliau berkata, pendekatan itu dilihat lebih signifikan berbanding cadangan mengurangkan elaun petrol Ahli Parlimen sebanyak RM1,500 sebulan.
“Jika benar mahu berjimat, mansuhkan peruntukan RM3.5 juta ini. Penjimatan yang diperoleh jauh lebih besar dan boleh dimanfaatkan semula untuk kebajikan rakyat secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan kerajaan tetap boleh menyalurkan bantuan kepada rakyat di kawasan Parlimen kerajaan seperti mana bantuan yang diberikan kepada kawasan pembangkang ketika ini, tanpa perlu bergantung kepada peruntukan khas tersebut.
Dalam masa sama, beliau tidak menolak cadangan untuk mengurangkan elaun petrol Ahli Parlimen, namun menyifatkan impaknya agak terhad dari segi penjimatan keseluruhan.
“RM1,500 didarab dengan 222 Ahli Parlimen, jumlahnya tidaklah begitu besar jika dibandingkan dengan penjimatan melalui pemansuhan peruntukan khas. Keutamaan ketika ini adalah mencari langkah penjimatan yang benar-benar memberi kesan besar kepada kewangan negara, tanpa menjejaskan keperluan rakyat di peringkat akar umbi,” ujarnya.








