Petani, penduduk Selising tunai solat Istisqa’ mohon hujan
Oleh: Asri Hamat
PASIR PUTEH, 30 Mac - Para petani bersama penduduk sekitar Selising menunaikan solat sunat Istisqa’ sebagai usaha memohon agar Allah SWT menurunkan hujan ke bumi yang kini memerlukan.
Program yang disertai makmum daripada pelbagai lapisan masyarat itu berlangsung di Padang Bola Maahad Tahfiz Sains Nurul Hidayah, Tualang Tinggi, di sini, pagi tadi.
Exco Pertanian, Agromakanan dan Komoditi Kelantan YB Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail, berkata inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan masyarakat khususnya golongan petani terhadap keadaan cuaca semasa yang memberi kesan kepada sumber rezeki mereka.
“Pelbagai lapisan masyarakat termasuk para petani mengharapkan setiap doa yang dipanjatkan diterima dan dikurniakan hujan yang membawa keberkatan serta rezeki yang melimpah ruah,” katanya menerusi media sosial, hari ini.
Beliau yang mengimamkan Jemaah serta berkhutbah sempena program solat Istisqa tersebut turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan bersama-sama menjayakan program berkenaan.
“Terima kasih kepada semua yang hadir dan mengimarahkan usaha ini. Moga kebersamaan ini menjadi asbab turunnya rahmat Allah SWT ke atas kita semua,” katanya.
Jelasnya, program solat istisqa’ yang diadakan pada pukul 7.45 pagi itu adalah sebagai seruan kepada masyarakat untuk kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT dalam menghadapi ujian cuaca semasa.














