Rakyat Kelantan dipersila meriahkan Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5, Konvoi 4 MB dijangka jadi tarikan utama
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 30 Mac 2026 – Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-5 & Himpunan Alam Melayu 2026 bakal berlangsung selama tiga hari di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu bermula 2 hingga 4 April ini.
Program berimpak besar itu menghimpunkan tokoh ulama, ilmuwan, pemimpin masyarakat serta rakyat dari pelbagai latar belakang dalam satu medan ukhuwah yang memperkukuh kesatuan umat Islam dan memperkasa warisan Alam Melayu.
Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud mempersilakan seluruh rakyat Kelantan khususnya untuk hadir memeriahkan program berkenaan sebagai manifestasi sokongan terhadap agenda perpaduan ummah.
Menurutnya, penganjuran program yang berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 11.00 malam sepanjang tiga hari itu merupakan wadah strategik dalam menyatukan suara umat Islam di tengah cabaran dunia semasa.
“Program ini membuka ruang kepada rakyat untuk mendekati ulama, memahami isu semasa serta menghayati kekuatan perpaduan dalam kerangka Islam dan tamadun Melayu,” katanya.
Antara pengisian utama yang dijangka menjadi tumpuan ramai ialah Konvoi Bermotor Anak Muda SG4 bersama empat Menteri Besar yang akan berlangsung pada 4 April.
“Konvoi ini dijadualkan bermula seawal pukul 8.00 pagi dengan lokasi berkumpul di Dataran Batu Buruk, sebelum dilepaskan pada pukul 8.45 pagi menuju ke destinasi akhir di Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus.
“Program ini menampilkan penglibatan empat Menteri Besar negeri-negeri SG4 sebagai simbol kebersamaan kepimpinan dalam mendekati rakyat, khususnya golongan belia,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti ilmiah, kebudayaan dan kekeluargaan disusun bagi memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat.
Antaranya, Kuliah Maghrib oleh Dr Zakir Abdul Karim Naik pada Jumaat dan Santai Anak Muda bersama Murabbi Sejuta Ummah Ustaz Azhar Idrus pada Sabtu.
Selain pengisian ilmiah, program itu turut menampilkan pameran Alam Melayu dan ketamadunan Islam sepanjang hari, di samping pelbagai aktiviti santai, cabutan bertuah serta pengalaman budaya berteraskan tema pakaian busana Melayu.
Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi juga diundang sebagai panel slot Bicara Wanita Alam Melayu yang dijadualkan berlangsung pada Khamis.
















