Accessibility Tools

Skip to main content

Pengorbanan doktor satu jihad – YB Rohani

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 30 Mac – Pengorbanan seorang doktor yang berkhidmat tanpa mengira waktu, sabar dalam merawat pesakit serta ikhlas menjalankan tugas disifatkan sebagai satu jihad yang besar nilainya di sisi Allah SWT.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, dedikasi golongan itu bukan sahaja mencerminkan profesionalisme tinggi, malah memperlihatkan keikhlasan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Menurutnya, setiap usaha dan khidmat bakti yang dicurahkan oleh para doktor wajar dihargai dan didoakan agar sentiasa dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan ganjaran berlipat ganda.

“Sempena sambutan Hari Doktor Sedunia hari ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia serta semua doktor yang menjadi barisan hadapan dalam menjaga nyawa dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi media sosial, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa peranan doktor sebagai benteng utama dalam sistem kesihatan negara amat penting, khususnya dalam mendepani cabaran kesihatan semasa.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat terus memberikan sokongan dan penghormatan kepada profesion berkenaan yang sentiasa komited berkhidmat demi kepentingan umum.

“Selamat Hari Doktor kepada semua yang bergelar doktor,” katanya.