Kelantan adakan solat Istisqa di kawasan terjejas kemarau
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 30 Mac - Kerajaan negeri Kelantan akan mengadakan solat Istisqa di beberapa kawasan yang terjejas akibat cuaca panas dan kekurangan air dalam masa terdekat.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud memaklumkan bahawa pelaksanaan solat tersebut akan diadakan pada hari ini dan esok di kawasan yang terkesan.
"Buat masa ini solat Istisqa belum dilaksanakan di peringkat negeri kerana situasi kemarau masih terkawal di sebahagian kawasan, namun langkah itu diambil secara bersasar di lokasi yang mengalami kekeringan seperti Machang, Pasir Puteh dan Bachok."
Dalam pada itu katanya, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) turut mengarahkan beberapa masjid untuk melaksanakan solat Istisqa bagi membolehkan orang ramai bersama-sama bermunajat memohon agar diturunkan hujan.
“Usaha ini diharap dapat meredakan cuaca panas, mengelakkan tanah menjadi terlalu kering serta membantu memulihkan sumber air,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau turut menyeru masyarakat agar memperbanyakkan doa serta lebih berhati-hati sepanjang musim panas ini, termasuk mengelakkan aktiviti berisiko seperti bermain mercun dan bunga api dan tidak membuang puntung rokok yang boleh mencetuskan kebakaran.
“Kes kebakaran dilaporkan semakin meningkat, jadi kita perlu ambil pengajaran dan lebih berwaspada,” katanya.








