22 balai Bomba Kelantan siap siaga hadapi peningkatan kebakaran terbuka
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 30 Mac – Semua 22 balai Bomba di seluruh Kelantan berada dalam keadaan siap siaga susulan peningkatan kes kebakaran terbuka yang merekodkan lebih 1,000 kejadian dalam tempoh Januari hingga 29 Mac tahun ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, setiap balai Bomba kini dilengkapi jentera dan peralatan mencukupi bagi memastikan operasi pemadaman dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.
Menurutnya, kesiapsiagaan itu melibatkan 28 jentera bomba, tujuh tangka air berkapasiti 10,000 dan 20,000 liter serta sebuah jentera jenis hidro-sub.
“Semua 22 balai Bomba di negeri ini telah diletakkan dalam keadaan siap siaga dengan kekuatan aset sedia ada bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kebakaran terbuka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan laporan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan, sebanyak 1,418 kes kebakaran direkodkan di seluruh negeri sepanjang tempoh Januari hingga 29 Mac 2026.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 1,089 kes membabitkan kebakaran terbuka yang menjejaskan kira-kira 4,000 ekar kawasan.
“Kebakaran belukar mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 880 kes, diikuti kebakaran hutan sebanyak 114 kes, kebakaran sampah 70 kes dan kebakaran ladang 25 kes,” katanya.
Menurutnya lagi, daerah Kota Bharu mencatatkan jumlah kebakaran terbuka tertinggi dengan 400 kes, diikuti Bachok sebanyak 278 kes dan Pasir Mas 173 kes.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pemantauan lapangan kini memberi tumpuan khusus kepada kawasan tanah gambut seluas 19,000 ekar yang meliputi Bachok, Tumpat, Pasir Puteh, Tok Bali dan Pasir Mas.
Beliau menjelaskan, peningkatan mendadak panggilan berkaitan kebakaran terbuka pada bulan Mac, yang mewakili 64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, menunjukkan keperluan untuk semua pihak lebih berwaspada.
“Semua pihak perlu memainkan peranan, termasuk orang awam, bagi mengelakkan pembakaran terbuka daripada terus berlaku,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa maklumat berkaitan kejadian kebakaran terbuka telah disalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Jabatan Alam Sekitar bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap individu atau pemilik tanah yang dikenal pasti terlibat.
Walaupun keadaan semasa masih terkawal, beliau menegaskan operasi pemadaman tetap berdepan beberapa cabaran, termasuk kekangan sumber air dan kesukaran akses ke lokasi kejadian.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta sentiasa peka terhadap keadaan cuaca semasa bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam keselamatan awam dan alam sekitar.














