YAKIN perhebat strategi pelaburan demi masa depan anak Kelantan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 30 Mac – Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) terus memperhebat strategi pelaburannya bagi memastikan dana pendidikan negeri kekal mampan, sekali gus menjamin masa depan anak-anak Kelantan melalui bantuan pendidikan yang berterusan dan berimpak tinggi.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, usaha memperkukuh pelaburan itu amat penting bagi memastikan YAKIN kekal teguh dari sudut kewangan dalam mendukung agenda pendidikan negeri.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pelaburan Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) di Kompleks Kota Darulnaim, semalam.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada perancangan pelaburan yang lebih teliti, berhemah dan strategik supaya kelestarian dana pendidikan negeri dapat terus dipertahankan.
“Pendekatan ini amat penting bagi memastikan YAKIN terus kukuh dari segi kewangan dan berupaya menyalurkan bantuan pendidikan secara berterusan kepada anak-anak Kelantan,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa komited meletakkan pendidikan sebagai teras utama pembangunan, selain mahu memastikan lebih ramai pelajar di negeri ini memperoleh peluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kita mahu manfaat ini diperluaskan supaya lebih ramai anak Kelantan dapat meningkatkan taraf hidup melalui pendidikan yang berkualiti,” ujarnya.
Tambahnya, YAKIN memainkan peranan penting sebagai pemangkin kecemerlangan pendidikan negeri menerusi pengurusan dana yang cekap, tersusun dan berpandangan jauh.
“Insya Allah, dengan strategi yang diperkukuh dan pengurusan yang berkesan, YAKIN akan terus membantu melahirkan generasi berilmu yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya lagi.
Turut hadir, Pengarah YAKIN Nik Jessim Tan Sri Nik Hashim.












