Patuhi undang-undang pembinaan, elak tindakan penguatkuasaan – Exco Kerajaan Tempatan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARULNAIM, 30 Mac – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah menegaskan kepentingan pematuhan undang-undang dalam setiap aspek pembinaan bagi menjamin keselamatan awam, kesejahteraan setempat dan keharmonian persekitaran.
Beliau berkata, orang ramai perlu sentiasa mematuhi peraturan sedia ada, termasuk Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), sebelum melaksanakan sebarang kerja pembinaan atau pengubahsuaian.
“Dalam isu pembinaan struktur dan bangunan, semua rakyat diminta supaya sentiasa patuh kepada undang-undang sedia ada seperti Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
“Pematuhan ini bukan sekadar kewajipan, tetapi satu bentuk persetujuan dan tanggungjawab bersama demi kebaikan umum,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, orang ramai juga diingatkan supaya merujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa tempatan sebelum memulakan sebarang kerja pembinaan atau pengubahsuaian, khususnya yang melibatkan tanah rizab kerajaan serta kegunaan awam.
Katanya, rujukan awal amat penting bagi memastikan setiap binaan mematuhi garis panduan yang ditetapkan, sekali gus mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.
Sementara itu, menurut kenyataan media Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI), tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan susulan pemeriksaan yang mendapati terdapat binaan melanggar syarat ditetapkan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Berikutan itu, notis kesalahan serta tawaran kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik premis terlibat.
Kenyataan tersebut juga menyatakan tindakan penutupan sementara turut dikenakan bagi memastikan pemilik mematuhi sepenuhnya peraturan yang berkuat kuasa, di samping mengelakkan sebarang risiko keselamatan kepada orang awam.
“Pihak kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan, khususnya melibatkan pembinaan tanpa kelulusan.
“Justeru, orang ramai diseru agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan demi menjamin keselamatan, kesejahteraan serta keharmonian persekitaran setempat,” tegasnya.














