Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Kesihatan cadang langkah keselamatan hadapi cuaca panas

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 30 Mac – Orang ramai diseru agar meningkatkan langkah berjaga-jaga susulan peningkatan suhu semasa yang boleh menjejaskan kesihatan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, keadaan cuaca panas yang semakin ketara boleh memberi kesan serius kepada kesihatan sekiranya langkah pencegahan tidak diambil sejak awal.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi diri dan keluarga daripada risiko cuaca panas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau turut menyarankan beberapa langkah penting antaranya memastikan pengambilan air yang mencukupi sekurang-kurangnya dua hingga tiga liter sehari, mengurangkan aktiviti luar terutamanya antara waktu tengah hari hingga petang serta menggunakan pelindung seperti topi atau payung di samping memakai pakaian yang ringan dan sesuai.

Dalam pada itu, YB Hilmi menegaskan bahawa pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas boleh menyebabkan dehidrasi, iaitu kehilangan air dalam badan yang boleh mengakibatkan simptom seperti pening dan keletihan.

“Jika keadaan menjadi lebih serius, ia boleh membawa kepada strok haba yang berisiko menyebabkan pengsan malah kematian sekiranya tidak dirawat segera,” jelasnya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami simptom berkaitan serta mendapatkan nasihat daripada pegawai perubatan.

Exco Kesihatan juga menyeru para ibu bapa agar lebih berwaspada terhadap pergerakan anak-anak, khususnya ketika musim panas, memandangkan kes kematian akibat cuaca panas pernah dilaporkan sebelum ini.

Tambahnya, musim kemarau turut meningkatkan risiko kebakaran terbuka termasuk kebakaran hutan gelam di kawasan Bachok.

"Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini" ujarnya.