Accessibility Tools

Skip to main content

Rakyat dinasihat jaga kesihatan dan elak risiko berlaku kebakaran - MB Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 29 Mac - Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nasuruddin Daud menasihati rakyat Kelantan supaya sentiasa menjaga kesihatan serta mengambil langkah berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca panas dan kering yang melanda negeri itu ketika ini.

Katanya, keadaan persekitaran yang kering, termasuk semak samun yang mati, meningkatkan risiko kebakaran, terutama jika terdapat kecuaian seperti membuang puntung rokok yang masih menyala.

“Saya nasihatkan rakyat Kelantan supaya jaga kesihatan. Dalam keadaan cuaca panas ini, kita lihat banyak berlaku kebakaran. Kadang-kadang ia berpunca daripada perkara kecil seperti puntung rokok yang tidak dipadam sepenuhnya.

“Api boleh bermula daripada kecil dan kemudian merebak dengan cepat, lebih-lebih lagi apabila kawasan semak samun sudah kering,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau turut berkongsi kejadian kebakaran yang berlaku berhampiran jalan ke Masjid Meranti baru-baru ini yang dipercayai berpunca daripada api kecil sebelum merebak menjadi lebih besar.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya memastikan puntung rokok dipadam sepenuhnya sebelum dibuang, selain menyarankan agar tabiat merokok dielakkan demi keselamatan dan kesihatan.