Keselamatan murid diutamakan, SOP sekolah perlu diperkasa hadapi cuaca panas
Oleh: Syamimi Manah
KUALA LUMPUR, 29 Mac – Isu cuaca panas yang kini berada pada Tahap 2 (Gelombang Panas) menuntut langkah lebih proaktif dalam memastikan keselamatan murid di sekolah terus terjamin, di samping keperluan memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian sekolah.
Ahli Dewan Negara YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, beliau memandang serius laporan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah berhubung pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) melibatkan 206 sekolah di daerah Pendang dan Kota Setar bermula hari ini sehingga 31 Mac 2026.
Menurutnya, langkah tersebut diambil susulan amaran cuaca panas Tahap 2 yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan wajar disokong demi keselamatan murid.
“Sebagai pengamal perubatan, saya ingin menegaskan bahawa pendedahan berpanjangan kepada suhu melebihi 37 darjah Celsius bukan sahaja menjejaskan tumpuan pembelajaran, malah boleh membawa kepada risiko kesihatan serius seperti kelesuan haba dan strok haba yang berpotensi mengancam nyawa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut mengemukakan tiga cadangan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan pihak berkaitan bagi mendepani situasi cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku.
Cadangan pertama ialah pelaksanaan “Sistem Amaran Awal Sekolah” yang menghubungkan data suhu masa nyata daripada MetMalaysia dengan pihak sekolah.
Menurutnya, menerusi sistem itu, pihak sekolah boleh mengambil tindakan segera seperti menangguhkan aktiviti luar tanpa perlu menunggu arahan rasmi.
Selain itu, beliau mencadangkan inisiatif “Sekolah Hijau & Teduh” sebagai langkah jangka panjang dengan menyediakan peruntukan khas bagi penanaman pokok teduhan serta pemasangan sistem pengudaraan pasif di sekolah, khususnya di kawasan dikenal pasti sebagai titik panas.
Dalam pada itu, garis panduan nutrisi dan hidrasi mandatori juga disarankan, termasuk penyediaan air minuman percuma yang mencukupi di kantin sekolah serta pengurangan jualan makanan berminyak dan pedas sepanjang tempoh gelombang panas.
Tambahnya, pendidikan asas berkaitan simptom awal strok haba juga perlu diberikan kepada murid bagi membolehkan mereka lebih peka terhadap keadaan diri dan rakan sebaya.
Dr Wan Martina turut menyeru ibu bapa di seluruh negara agar memainkan peranan aktif sepanjang tempoh PdPR dengan memastikan anak-anak kekal berada di dalam rumah serta mengambil air secukupnya.
“Keselamatan anak-anak adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi. Kita perlu beralih daripada pendekatan reaktif kepada strategi yang lebih proaktif serta berdaya tahan dalam menghadapi perubahan iklim,” ujarnya.








