Accessibility Tools

Skip to main content

Lebih 100 isi rumah di Sungai Tias nikmati bekalan air lebih baik

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KUALA KRAI, 29 Mac - Lebih 100 isi rumah di tiga kampung sekitar Sungai Tias, Dabong kini menikmati bekalan air yang lebih baik hasil tindakan pantas Ahli Dewan Negeri (ADN) Dabong YB Ku Zaki Ku Hussin melalui pelaksanaan projek pemasangan tandak air menggunakan sistem poli paip, Jumaat lalu.

YB Ku Zaki berkata inisiatif tersebut dilaksanakan bagi menangani masalah bekalan air berulang setiap kali musim kemarau yang menjejaskan keperluan harian penduduk. Keadaan menjadi lebih mencabar apabila kapasiti tadahan sedia ada tidak lagi mampu menampung penggunaan semasa.

Menurutnya, projek berkenaan dilaksanakan secara berfasa melibatkan tiga lokasi utama. Fasa pertama di Kampung Sungai Tias Dalam membabitkan 42 rumah, diikuti Kampung Gong Genor dengan 33 rumah, manakala fasa ketiga di Kampung Sungai Tias Luar melibatkan 44 rumah serta dua surau.

"Sebanyak tiga tandak baharu dipasang lengkap dengan sistem saluran poli paip bagi meningkatkan keupayaan tadahan dan pengagihan air secara lebih efisien kepada penduduk terlibat," jelasnya.

Beliau melaksanakan kerja pemasangan bersama lebih 50 penduduk kampung, khususnya golongan belia secara bergotong-royong sehingga berjaya menyiapkan keseluruhan pemasangan dalam tempoh kurang empat jam.

Menurutnya lagi, tindakan segera diambil bagi memastikan kebajikan rakyat tidak terus terjejas setiap kali berdepan musim kemarau.

“Kita tidak mahu masalah ini berulang tanpa penyelesaian. Sebab itu pendekatan turun padang dan tindakan segera dilaksanakan bersama rakyat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, projek tandak air itu akan terus diperluaskan secara berperingkat bagi memastikan lebih ramai penduduk, khususnya di kawasan yang berdepan tekanan air rendah, mendapat manfaat.

“Saya amat menghargai semangat gotong-royong yang ditunjukkan penduduk, khususnya golongan muda. Inilah kekuatan sebenar masyarakat dalam mendepani cabaran bersama,” ujarnya.

Tambahnya, usaha memperkasa infrastruktur bekalan air luar bandar akan terus dipergiat sebagai langkah jangka panjang bagi mengurangkan isu gangguan bekalan air di kawasan terlibat.