Inisiatif bersepadu pemimpin-AKSB salur bantuan segera air di Mengkebang
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KUALA KRAI, 29 Mac - Bantuan bekalan air segera digerakkan secara bersepadu melibatkan wakil rakyat dan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) bagi menangani isu tekanan air rendah yang menjejaskan kira-kira 250 penduduk di empat kampung dalam DUN Mengkebang sejak awal Ramadan.
Inisiatif tersebut dilaksanakan oleh Pejabat Khidmat DUN (PKD) Mengkebang bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang YB Zubir Abu Bakar serta Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latif Abdul Rahman bagi memastikan bekalan air terus disalurkan ke kawasan terjejas termasuk Kampung Cenulang, Kampung Bedal, Kampung Sepuluh dan Kampung Padang 10 Senagar.
Penduduk yang terjejas akibat musim kemarau berlarutan dan faktor geografi berbukit kini menerima bekalan air melalui pengoperasian lori tangki AKSB secara berkala setiap dua hari ke lokasi kritikal.
Selain itu, langkah tambahan turut digerakkan oleh pihak ADN Mengkebang dengan menyewa lori berserta tangki air yang diisi terus daripada sumber paip AKSB sebelum diagihkan dari rumah ke rumah bagi mempercepatkan penyaluran bekalan kepada penduduk.
Dalam masa sama, penyelesaian jangka sederhana turut dilaksanakan melalui pembinaan tandak air sebagai pusat tadahan serta pemasangan paip poli paip bagi menyalurkan bekalan air secara lebih sistematik ke kediaman penduduk.
Usaha tersebut turut mendapat kerjasama erat masyarakat setempat yang bergotong-royong membantu kerja pemasangan paip, sekali gus mempercepatkan proses pemulihan bekalan air di kawasan terlibat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang, YB Zubir Abu Bakar
Sementara itu, YB Zubir dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus lumus memastikan kelancaran bekalan air sepanjang musim kemarau dan perayaan.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Rozairi dari AKSB Kuala Krai bersama pasukan yang komited membantu menyalurkan bekalan air kepada penduduk di DUN Mengkebang.
“Alhamdulillah, keadaan keseluruhan masih terkawal, namun cabaran tetap dirasai berikutan musim kemarau yang menyebabkan sumber air seperti telaga jejari berkurangan dan sungai semakin kering,” katanya.
Beliau berharap pihak AKSB terus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan bagi menjamin bekalan air yang lebih stabil kepada rakyat, khususnya di kawasan terjejas.
“Terima kasih juga kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Krai, PKD Mengkebang, para penghulu serta seluruh masyarakat yang memberi kerjasama erat dalam menangani isu ini,” ujarnya.
Ahli Parlimen Kuala Krai, YB Abdul Latif Abdul Rahman
















