Accessibility Tools

Skip to main content

Konsep ‘potluck’ satukan rakyat dalam Ramah Mesra Aidilfitri Guchil

Oleh: Syamimi Manah

KUALA KRAI, 29 Mac – Konsep ‘potluck’ yang diterapkan dalam program Ramah Mesra Aidilfitri DUN Guchil yang berlangsung di Taman Chintawangsa, pada Jumaat lalu telah berjaya menyatukan rakyat setempat, apabila mereka berganding bahu menyediakan pelbagai juadah secara gotong-royong.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil YB Hilmi Abdullah berkata, pendekatan tersebut melibatkan 26 cawangan yang masing-masing menyumbang tenaga dalam menyediakan makanan untuk dikongsi bersama pengunjung.

Menurutnya, hasil kerjasama itu membolehkan hampir 20 jenis hidangan disediakan tanpa memerlukan kos yang tinggi, sekali gus memastikan semua pengunjung dapat menikmati jamuan dalam suasana penuh kemesraan.

“Program ini dibuat secara sederhana tetapi meriah. Semua makanan dimasak sendiri oleh petugas dan sukarelawan. Inilah kekuatan konsep ‘potluck’ yang bukan sahaja menjimatkan kos, malah mengeratkan hubungan dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, penganjuran program tersebut turut mengekalkan tradisi bersila bersama keluarga tanpa keperluan kemudahan mewah, dengan pengunjung digalakkan membawa tikar sendiri.

Tambahnya, aspek logistik seperti pencahayaan dan hiasan juga dilaksanakan secara kreatif dengan memanfaatkan kemudahan sedia ada di sekitar lokasi, selain dibantu oleh sukarelawan tempatan tanpa melibatkan kontraktor luar.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa majlis tersebut dianjurkan khusus untuk rakyat dan tidak bersifat eksklusif, dengan semua tetamu menikmati layanan serta juadah yang sama.

“Tiada konsep VIP dalam program ini. Semua datang sebagai keluarga besar masyarakat Guchil,” ujarnya.

Mengulas mengenai pengisian program, beliau berkata persembahan hiburan oleh artis tempatan turut mencerminkan semangat kebersamaan apabila mereka tampil secara sukarela dengan bayaran minimum sebagai tanda penghargaan.

Selain itu, persembahan bunga api yang menjadi tarikan pengunjung pula merupakan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada syarikat tempatan, tanpa melibatkan kos penganjuran.

Menurutnya, keseluruhan pendekatan tersebut membuktikan bahawa program berskala besar masih boleh dilaksanakan secara berjimat tanpa mengorbankan kemeriahan dan nilai kebersamaan.

“Yang penting adalah kebersamaan dan semangat berkongsi rezeki. Inilah yang menjadikan sambutan Aidilfitri lebih bermakna,” katanya.

Beliau turut mengajak masyarakat untuk terus mengamalkan budaya memberi, memperkukuh silaturahim serta menyemarakkan semangat gotong-royong dalam kehidupan bermasyarakat.