Accessibility Tools

Skip to main content

Pesakit Hospital Tumpat disantuni Ahli Parlimen sempena Aidilfitri

Oleh: Asri Hamat

TUMPAT, 20 Mac – Pesakit di Hospital Tumpat menerima kunjungan dan sumbangan daripada Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi dalam satu program ziarah kebajikan sempena Aidilfitri.

Lawatan tersebut bertujuan menyantuni pesakit yang terpaksa menyambut Aidilfitri di hospital, selain menyampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Menurut Dato' Mumtaz, selain para pesakit, turut disantuni dan diagih sumbangan ialah kakitangan keselamatan dan pekerja kebersihan.

“Alhamdulillah, 33 pesakit telah diziarahi dan keseluruhan penerima termasuk petugas keselamatan dan pekerja kebersihan menjadikan jumlah sebanyak 52 orang menerima sumbangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, setiap penerima diberi biskut raya serta sumbangan duit raya sebagai tanda ingatan dan sokongan.

Beliau berharap inisiatif tersebut dapat menceriakan pesakit serta memberi semangat kepada mereka yang tidak dapat pulang beraya bersama keluarga.

“Semoga usaha kecil ini dapat membawa kegembiraan dan menguatkan semangat mereka untuk terus tabah menghadapi ujian,” ujarnya.