Perjalanan pulang 20 jam bukti cinta perantau kepada Kelantan – YB Mohd Asri
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 23 Mac – Kesanggupan anak-anak Kelantan di perantauan menempuh perjalanan sehingga 20 jam untuk pulang ke kampung halaman menjadi bukti jelas kecintaan mereka terhadap negeri ini.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, pengorbanan masa dan tenaga yang ditunjukkan oleh perantau mencerminkan ikatan kasih yang kuat terhadap keluarga, kampung halaman dan negeri Kelantan.
“Perantau yang berada di luar ini sanggup menempuh perjalanan yang panjang, ada yang sehingga 20 jam, namun tetap pulang kerana cinta dan kasih kepada kampung halaman, tanah air dan negeri Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mesra Aidilfitri Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Kelantan di Perantauan 1447H/2026M di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan, Bandar Baharu Tunjong, di sini, semalam.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud
Majlis kelolaan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu menghimpunkan hampir 2,000 hadirin terdiri daripada anak-anak Kelantan di perantauan serta masyarakat setempat yang hadir bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri bersama pimpinan kerajaan negeri.
YB Mohd Asri turut menzahirkan rasa gembira terhadap sambutan luar biasa yang diberikan oleh rakyat terhadap program anjuran kerajaan negeri.
“Saya bahagia melihat kehadiran hampir 2,000 orang pada malam ini, sama ada di dalam mahupun di luar dewan. Ini menunjukkan kasih dan mahabbah rakyat kepada pimpinan serta negeri tercinta,” ujarnya.
Tambahnya, kehadiran ramai dalam setiap program termasuk Majlis Ihya’ Ramadan Perdana yang diadakan di Shah Alam sebelum ini membuktikan sokongan berterusan rakyat kepada kerajaan negeri.
Beliau turut menegaskan bahawa nilai kasih sayang sesama insan perlu terus dipupuk sebagai asas kepada keharmonian dalam keluarga dan masyarakat.
“Bila kita ada kasih sesama manusia, Allah akan mengasihi kita. Bentuklah kasih sayang dalam kekeluargaan dan kehidupan bermasyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak meninggalkan perbezaan dan persengketaan sama ada dalam keluarga, tempat kerja mahupun politik, sebaliknya memperkukuhkan perpaduan demi kesejahteraan bersama.
“Marilah kita bina penyatuan dan kasih sayang dalam negeri dan negara kita,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir serta menyifatkan sambutan yang diterima sebagai tanda sokongan padu rakyat terhadap kerajaan negeri.
















