Accessibility Tools

Skip to main content

Perantau Kelantan pulang beraya disambut di LTSIP

Oleh: Norzana Razaly

PENGKALAN CHEPA, 19 Mac — Kepulangan perantau Kelantan sempena Aidilfitri disambut penuh mesra menerusi Program Welcoming Perantau anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini, selama dua hari bermula 18 hingga 19 Mac.

Program yang menyantuni ketibaan penumpang dari pelbagai destinasi itu menyaksikan purata 80 peratus daripada mereka merupakan anak perantau yang pulang ke tanah air bagi meraikan lebaran bersama keluarga.

Inisiatif tersebut diserikan dengan kehadiran Timbalan Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa YB Datuk Dr Marzuk Shaari yang turun padang menyambut para perantau.

Menurut YB Nik Bahrum, sebanyak 350 pek ole-ole berupa kuih-muih tradisi seperti jala mas, buah tanjung dan seri itik diagihkan setiap hari sebagai tanda penghargaan kepada perantau yang pulang.

“Kita menyambut anak perantau Kelantan yang pulang melalui pangkalan udara sambil mengagihkan ole-ole sebagai simbol ingatan dan kasih sayang negeri kepada mereka.

“Pada hari pertama, sambutan disempurnakan oleh Datuk Dr Marzuk Shaari, manakala hari kedua saya sendiri berpeluang menyantuni kepulangan mereka di balai ketibaan ini,” katanya, ketika dihubungi, hari ini. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UPKN atas penganjuran program berkenaan yang disifatkan sebagai signifikan dalam meneruskan tradisi tahunan menyambut perantau.

“Walaupun kelihatan ringkas, namun kesannya amat mendalam kepada setiap individu yang diraikan,” katanya.

Beliau juga menyifatkan program tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyantuni rakyat serta menyemarakkan semangat kebersamaan menjelang sambutan Aidilfitri.