Accessibility Tools

Skip to main content

UPKN anjur Program Welcoming Perantau di enam lokasi strategik sambut kepulangan anak Kelantan

Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media ADN

KOTA DARULNAIM, 19 Mac — Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) menganjurkan Program Welcoming Perantau di enam lokasi strategik seluruh negeri bagi menyambut kepulangan anak Kelantan sempena Aidilfitri.

Pengarahnya, Razuan Awang Hamad berkata program tersebut bertujuan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam menyambut lebaran  dan mengeratkan kasih sayang pemimpin dan masyarakat.

"Program Welcoming Perantau ini dianjurkan sebagai pendekatan holistik dalam menyambut kepulangan anak perantau, di samping mengangkatl semangat “hubbul watan” yang terus mekar dalam jiwa rakyat Kelantan, walau di mana mereka berada.

Pengarah UPKN, Razuan Awang Hamad

"Pelaksanaannya bermula di Jeli pada 17 hingga 19 Mac, diikuti Gua Musang pada 18 Mac, Pasir Puteh pada 18 hingga 19 Mac, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada 18 hingga 19 Mac, manakala Kota Bharu dan Tumpat masing-masing pada 19 Mac.

"Program ini turut melibatkan pimpinan setempat yang turun padang menyantuni para perantau," jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah YB Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil berkata, sambutan kepulangan perantau Jeli dimeriahkan dengan agihan sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk bersama brosur penerangan tentang kemakmuran Kelantan di setiap lokasi strategik sebagai juadah berbuka puasa.

Katanya lagi, bagi kawasan Jeli, khidmat penyediaan bubur lambuk oleh pasukan Yayasan Amal Malaysia cawangan Kelantan.

Manakala agihannya pula dilaksanakan oleh Pusat Khidmat DUN dan Penghulu Tanpa Mukim Seranta (PTMS).

“Program ini menjadi tanda ingatan dan penghargaan kepada anak-anak Kelantan yang pulang ke tanah air.

"Kita ingin memastikan kepulangan mereka disambut dengan penuh mesra, di samping berkongsi rezeki melalui agihan bubur lambuk sebagai juadah berbuka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, inisiatif tersebut diharap dapat meringankan perjalanan perantau yang pulang dan mengeratkan nilai ukhuwah dan kebersamaan dalam masyarakat.

“Dalam kesibukan perjalanan pulang, sentuhan kecil seperti ini mampu memberi makna besar. Ia mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dan agensi terlibat dalam menyantuni rakyat, khususnya menjelang Ramadan dan Aidilfitri,” ujarnya.