Accessibility Tools

Skip to main content

Perantau Tumpat tiba di stesen kereta api disambut pemimpin negeri

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media ADN Kelaboran dan ADN Wakaf Bharu

TUMPAT, 20 Mac - Sejumlah 260 perantau anak Kelantan tiba di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Wakaf Bharu dan Tumpat disambut meriah sempena Aidilfitri melalui Program Welcoming Perantau, semalam.

Di Stesen Keretapi Tumpat, dua ketibaan tren melibatkan dari Johor pada pukul 1.30 petang dengan 66 penumpang, serta tren dari Kuala Lumpur pada pukul 5.00 petang yang membawa 91 penumpang termasuk 27 kakitangan KTMB.

Perantau di stesen itu disambut oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan bersama Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi.

Sementara itu, di Stesen Keretapi Wakaf Bharu, tren dari Kuala Lumpur tiba pada pukul 4.30 petang dengan membawa seramai 106 penumpang.

Sambutan di lokasi tersebut diketuai oleh ADN Pasir Pekan YB Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, ADN Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah serta Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi.

Program Welcoming Perantau anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu bertujuan menyambut kepulangan anak-anak perantau ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

Selain di stesen Tumpat dan Wakaf Bharu, program sama turut dilaksanakan di lima lokasi lain iaitu di Pasir Puteh melibatkan DUN Gaal dan Semerak, Gua Musang (Masjid Buloh), Jeli (Petronas Jeli), Kota Bharu (Stesen Bas Lotus’s) serta Pengkalan Chepa (Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra). 

Mengulas suasana program, YB Mohd Adanan Hassan berkata sambutan yang diadakan jelas menggambarkan kegembiraan masyarakat menyambut kepulangan ahli keluarga dari perantauan.

“Suasana cukup meriah dengan kepulangan wajah-wajah yang dirindui. Terima kasih kepada semua petugas kawasan Tumpat yang turun padang bagi meraikan kepulangan saudara mara kita dari perantauan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan selamat pulang kepada semua perantau serta berharap sambutan Aidilfitri kali ini membawa keberkatan kepada semua.

“Selamat pulang ke kampung halaman buat semua. Semoga Aidilfitri kali ini membawa seribu keberkatan buat kita semua. Maaf Zahir dan Batin,” ujarnya.

Dalam pada itu, ADN Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah berkata program tersebut dianjurkan bagi menyambut kepulangan anak-anak perantau yang kembali ke tanah air sempena Hari Raya yang bakal menjelang.

“Semoga perjalanan semua perantau dipermudahkan dan selamat sampai ke destinasi. Selamat kembali ke kampung halaman, moga Syawal kali ini membawa seribu keberkatan dan kebahagiaan buat kita semua,” katanya.