Accessibility Tools

Skip to main content

KIAS rangka Pelan Transformasi 2026, sasar status universiti penuh 2027

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 18 Mac – Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) mengorak langkah strategik melalui pelan transformasi tadbir urus dan kepimpinan yang komprehensif bagi mencapai status Universiti Penuh menjelang tahun 2027.

Inisiatif tersebut memberi penekanan kepada integrasi kekuatan visi, integriti serta nilai Rabbani sebagai asas memperkukuh kecemerlangan institusi dalam landskap pendidikan tinggi.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Kamaruzaman Mohamad, berkata beberapa langkah strategik telah digariskan hasil dapatan kajian menyeluruh bagi memperkasa institusi berkenaan.

Menurutnya, antara fokus utama termasuk pemerkasaan kemudahan pengajaran dan pembelajaran (PdP), penjagaan kebajikan staf secara holistik serta pelaksanaan transformasi digital dalam ekosistem kampus.

“Pembangunan sahsiah pelajar dan tadbir urus yang cekap berlandaskan prinsip Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI) turut diberi tumpuan utama dalam usaha melonjakkan imej KIAS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Seminar Kajian Kompetensi Kepimpinan dan Penambahbaikan Tadbir Urus ke Arah Kelestarian KIAS Tahun 2026 di Bilik Kuliah 12, KIAS, semalam.

Tambahnya, kejayaan merangka pelan transformasi tersebut merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak yang terlibat dalam kajian berkenaan, sekali gus mencerminkan komitmen kolektif ke arah memperkukuh hala tuju institusi.

YB Kamaruzaman yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola KIAS menzahirkan sokongan penuh terhadap pelaksanaan strategi tersebut sebagai langkah memastikan kelestarian, kemajuan serta pengukuhan identiti Rabbani institusi berkenaan.

“Usaha ini memerlukan dukungan berterusan semua pihak bagi memastikan KIAS terus berkembang sebagai institusi pendidikan tinggi yang unggul dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Strategik (PKS) Dato’ Dr. Wan Nik Wan Yussof, selaku Ketua Penyelidik membentangkan dapatan kajian yang merangkumi analisis empirikal serta cadangan resolusi komprehensif bagi memperkukuh tadbir urus KIAS.

Program turut diserikan dengan sesi wacana interaktif kendalian Pengarah Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) Dr. Azizi Umar bersama barisan panel yang membincangkan pendekatan strategik ke arah memperkasa kepimpinan dan pengurusan institusi.