Accessibility Tools

Skip to main content

PEKA agih 300 pek bubur lambuk kepada pengguna jalan raya

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 18 Mac – Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA) Negeri Kelantan tidak ketinggalan melakukan kebajikan apabila mengagihkan sebanyak 300 pek bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di Jalan Kebun Sultan di sini, pada Isnin.

Pengagihan bubur lambuk tersebut dilaksanakan oleh Penyelia Dewan Negeri (DUN) Kota Lama Nur Syakiman Mohamad bersama Pengerusi PEKA Lim Guang Seng, di hadapan pejabat Dewan Himpunan Penyokong PAS, Jalan Kebun Sultan.

Pengarah Pusat Khidmat DUN Kota Lama Dato’ Sr. Zamri Ismail berkata usaha PEKA yang terus komited menganjurkan program kebajikan walaupun dalam bulan puasa amat wajar dihargai.

“Terima kasih kepada PEKA kerana tetap menjayakan program bersama dalam bulan puasa ini walaupun berbeza agama,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Selain agihan bubur lambuk, program itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan barangan dapur sumbangan Tauke Minyak Masak 303 Gan Leong Piow kepada golongan memerlukan.

“Terima kasih kepada Encik Gan kerana sudi berkongsi rezeki dengan rakyat, khususnya di DUN Kota Lama,” katanya.

Penghargaan yang sama turut dizahirkan Penyelia DUN Kota Lama Nur Syakiman Mohamad.

“Saya mewakili warga kerja DUN Kota Lama mengucapkan ribuan terima kasih kepada Encik Gan atas kemurahan hati beliau menyumbang kepada masyarakat. Kita sangat bersyukur dan berbangga kerana masih ada individu seperti Encik Gan yang sudi berkongsi rezeki demi kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.