Kelantan–Australia fokus pembangunan pendidikan, kemahiran generasi muda
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media TMB
KOTA DARULNAIM, 18 Mac – Usaha memperkasakan generasi muda melalui pendidikan, pembangunan kemahiran dan peluasan peluang kerjaya menjadi fokus utama dalam perbincangan antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Australia sempena kunjungan rasmi Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, TYT Danielle Heinecke, ke negeri ini, semalam.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata pertemuan yang berlangsung di pejabatnya, di Mabna itu membuka ruang kepada kedua-dua pihak meneroka peluang kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, pertukaran budaya serta pembangunan insan.
Menurutnya, penekanan terhadap pembangunan generasi muda adalah selari dengan komitmen kerajaan negeri dalam melahirkan tenaga kerja masa depan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi.
“Perbincangan menekankan usaha memperkasakan generasi muda melalui pendidikan, pembangunan kemahiran dan penciptaan peluang kerjaya yang lebih luas.
“Ini selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pertumbuhan yang inklusif dan mampan,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi, pada Isnin.
Dalam pertemuan tersebut, beberapa projek pembangunan utama negeri turut dibincangkan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi, antaranya kemajuan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pengembangan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) serta pembangunan strategik Pangkalan Bekalan Tok Bali.
Menurutnya, projek-projek berkenaan berpotensi memperkukuh hubungan serantau serta menarik lebih banyak pelaburan ke Kelantan.
Kedua-dua pihak turut berkongsi pandangan mengenai kepentingan mempererat kerjasama berasaskan prinsip saling menghormati serta penglibatan konstruktif dalam mendepani cabaran landskap global semasa.
“Hubungan antara rakyat, pemahaman budaya serta kerjasama dalam bidang ilmu dan inovasi akan terus menjadi asas penting dalam memperkukuh hubungan dua hala ini,” jelasnya.
Selain itu, beliau menyatakan keyakinan terhadap perkembangan sektor pelancongan negeri, termasuk potensi pelancongan kesihatan yang semakin berkembang serta peningkatan kesalinghubungan antarabangsa melalui penerbangan terus.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas hubungan persahabatan berterusan antara Australia dan Malaysia, selain berharap kerjasama tersebut terus diperkukuh demi manfaat bersama pada masa hadapan.










