Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor


Tempahan hotel di Kelantan cecah 90 peratus menjelang Aidilfitri

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 17 Mac – Kadar tempahan bilik hotel dan penginapan di Kelantan dilaporkan mencecah sehingga 90 peratus menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, susulan peningkatan kepulangan perantau ke negeri ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata situasi tersebut telah dijangka berikutan permintaan tinggi terhadap kemudahan penginapan, termasuk hotel dan inap desa (homestay).

Menurutnya, sebahagian perantau memilih untuk menginap di premis komersial berikutan kediaman keluarga tidak lagi mampu menampung jumlah ahli keluarga yang semakin bertambah.

“Hotel dan homestay menjadi pilihan utama perantau yang pulang berhari raya bersama ibu bapa serta sanak saudara, khususnya apabila kapasiti rumah keluarga adalah terhad.

“Selain itu, kadar harga penginapan di Kelantan yang secara relatifnya lebih rendah berbanding negeri lain turut menjadi faktor tarikan kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, peningkatan kadar tempahan tersebut mencerminkan perkembangan positif sektor pelancongan domestik serta industri penginapan di negeri ini.

Dalam pada itu, Datuk Kamarudin menjangkakan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) yang dijadualkan siap tahun hadapan akan terus merancakkan pergerakan perantau, sekali gus memberi impak positif kepada pelbagai sektor ekonomi negeri.

“Apabila kemudahan infrastruktur ini siap, ia dijangka memudahkan perantau untuk pulang dengan lebih kerap, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi rakyat,” jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemain industri penginapan di Kelantan, termasuk Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA), atas usaha menyediakan promosi serta pakej menarik sempena musim perayaan.

Menurutnya, komitmen berterusan pemain industri tersebut membantu memastikan sektor pelancongan dan hospitaliti negeri kekal berdaya saing serta mampu memenuhi permintaan yang meningkat.