Ramadan Lite Talk: JAHEAIK pergiatkan dakwah secara digital
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 17 Mac – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) mempergiat pendekatan dakwah digital sempena Ramadan menerusi pelaksanaan program Ramadan Lite Talk, yang menyampaikan mesej rohani dan motivasi secara ringkas, padat serta mudah diakses oleh masyarakat.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud memaklumkan bahawa program tersebut dikendalikan oleh Bahagian Dakwah JAHEAIK melalui platform J-TV Studio JAHEAIK, dengan menampilkan tazkirah berdurasi antara tiga hingga empat minit sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, kandungan tazkirah yang disampaikan oleh pegawai dan kakitangan JAHEAIK sarat dengan pengajaran serta peringatan yang relevan untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Pendekatan penyampaian yang santai, padat dan mudah diakses membolehkan mesej rohani disampaikan secara berkesan, khususnya kepada masyarakat yang aktif menggunakan media sosial,” katanya, ketika dihubungi hari ini.
Program berkenaan dimulakan pada 1 Ramadan oleh beliau sendiri dengan tajuk “Ramadan Bulan Keampunan” sebagai pembuka tirai siri perkongsian.
Selain itu, JAHEAIK turut memperluas penyampaian dakwah melalui siri “Light of Ramadan – A Message for All” yang disampaikan dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Inggeris, Tamil, Thai, Mandarin dan Bahasa Orang Asli bagi memastikan mesej Ramadan dapat disampaikan secara inklusif kepada pelbagai lapisan masyarakat.
YB Mohd Asri turut merakamkan penghargaan kepada JAHEAIK atas kejayaan melaksanakan inisiatif berkenaan, termasuk komitmen tinggi pegawai dan kakitangan yang terlibat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan khusus kepada Penolong Pengarah Kanan (Dakwah dan Ukhuwah) Bahagian Dakwah JAHEAIK, Suratemi Mat Yusof, atas peranan dalam menjayakan program tersebut.
“Syabas kepada seluruh warga JAHEAIK yang berjaya membawa mesej Ramadan secara kreatif, inklusif dan dekat dengan masyarakat,” ujarnya.
Beliau berharap inisiatif itu dapat terus menjadi platform berkesan dalam menyemarakkan penghayatan Ramadan serta menyampaikan ilmu dan motivasi rohani secara berterusan kepada masyarakat.










